Please CLICK

Wednesday, January 15, 2014

Kangkung Enterprise


Alhamdulillah harga kangkung dah turun. Semoga harga barangan lain juga akan turut turun. Bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat memang membebankan rakyat. Himpunan TURUN yang berlangsung di malam ambang 2014 tempoh hari pun bagi menyatakan keresahan sekelian rakyat akan tsunami peningkatan kos sara hidup ini. Sedikit sebanyak mungkin pihak kerajaan memerintah sudah mula faham akan keseriusan permasalahan ini.


Sebarang peningkatan kos seperti bayaran tol, tarif letrik, harga gula, harga minyak dan cukai yang dikenakan kepada rakyat sudah tentu akan menyebabkan peningkatan kos barangan lain. Contohnya kenaikan tarif letrik walaupun mungkin tidak melibatkan kelompok pengguna rumah biasa secara langsung kerana ianya menumpukan kepada penggunaan heavy duty seperti kilang dan entiti korporat tetapi kesan peningkatan kos operasi dan produksi ini sudah tentu akan dijelmakan ke dalam peningkatan harga produk atau servis yang dipasarkan nanti.

Ucapan PM yang menyebut perihal harga kangkung dah turun dan bila turun kenapa tak puji kerajaan telah menimbulkan reaksi spontan rakyat Malaysia dan telah mempopularkan kangkung di media terutamanya di media sosial. Ada yang menyokong PM contohnya KJ tetapi ramai yang merasakan rakyat telah dikangkungkan oleh kenyataan PM berkenaan.

"Terbukti rakyat Malaysia tidak mudah dikangkungkan. Siapa kangkung sebenarnya? Pucuknya angkuh memanjat bukit tak sedar akar terendam air parit." – Ungku Aziz

Satu luahan yang tajam daripada Pak Ungku. Pucuknya angkuh memanjat bukit, tak sedar akar terendam air parit, rakyat mengeluh lelah dan sakit, sedikit diberi banyak diungkit. Pucuknya angkuh memanjat bukit, tak sedar akar di air parit, bagaikan melepas anjing tersepit, udah dapat kuasa rakyat digigit.

Nota: Tokoh akademik Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliaulah penulis catatan berkaitan 'kangkung' yang tersebar di laman Twitter dan Facebook. (Malaysiakini)

Apapun rezki jangan di tolak. Alang-alang kangkung dah popular ni dan harganya pun dah turun, ada baiknya kita manfaatkan bersama. Jadi saya kongsikan lah di sini satu resepi masakan kangkung. Lupakan sengketa lama, kita layan resepi Kangkung Tumis Belacan:

Bahan-bahan:
  1. 1 ikat kangkung segar
  2. 1 tangkai cili merah(nak pedas,bubuh la cili padi ikut citarasa)*
  3. 2 ulas bawang merah*
  4. 1 ulas bawang putih*
  5. Segenggam ikan bilis/udang kering*
  6. 1 sudu makan(atau lebih) belacan*
  7. Garam dan perasa(ajinomoto) secukup rasa
  8. Minyak masak secukupnya untuk menumis
Cara-cara:
  1. Potong kangkung mengikut citarasa, bersihkan dan toskan bahan2 yg bertanda * dan ditumbuk hingga separa lumat
  2. Bila minyak sudah panas, tumis bahan2 yang sudah ditumbuk tadi dan kacau hingga naik bau atau bila warna sedikit kekuningan
  3. Masukkan garam dan perasa secukup rasa. Kacau sekejap, kemudian masukkan kangkung
  4. Gaul rata dan kacau sehingga masak (jgn terlampau masak, nanti tidak sedap pula). Bagi yg suka berkuah tu, boleh bubuh sedikit air dan bila kuah dah mendidih matikan api
  5. Afdal dihidangkan segera dengan nasi panas.
Nota: Rujukan Resepi di http://www.myresipi.com/top/detail/5829


Siapa sangka kangkung boleh menjadi buzz word dalam sekelip mata dan menjadi item terlajak popular di laman sosial. Dulu kangkung orang tak pandang tapi kini kangkung jadi sebutan. Dulu kangkung di pingitan kini kangkung di hotel lima bintang. Apakah PM menyebut kangkung sebagai contoh dengan sengaja atau spontan tanpa banyak timbang tara seadanya? Atau memang PM sudah silap bicara? 

Kerana ramai yang rasakan PM sepatutnya menyebut sesuatu yang lebih utuh dan padu yang mencerminkan nilai intelek yang tinggi dalam memberi contoh atau analogi misalnya harga kereta semakin turun sebagai mana dijanjikan pada PRU13 dulu, harga rumah yang melampau akan dirasionalkan, atau harga teh tarik dan roti canai akan di kawal agar murah walaupun harga gula sudah naik. 

Apa pun nasi sudah menjadi bubur. Terlajak kata PM menjadi bual bicara rakyat semua. Terima kasih kerajaan BN kerana kangkung sudah turun harga. Harapnya harga kereta, rumah, teh tarik dan roti canai akan menyusul sama.

@@@

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...