Please CLICK

Wednesday, July 3, 2013

Mohamed Morsi


Presiden Mesir Mohamed Morsi telah digulingkan oleh pihak tentera Mesir pada usia pemerintahan yang hanya mampu bertahan selama kurang lebih setahun sahaja. Tuntutan jutaan penunjuk perasaan yang mendesak Morsi meletak jawatan nampaknya telah menjadi kenyataan. 

Rakyat Mesir berkumpul di Dataran Tahrir bagi meraikan pergulingan ini. Dua tahun lalu, di Tahrir terdapat perayaan hampir sama selepas Hosni Mubarak ditumbangkan dan Morsi diangkat sebagai presiden pertama dipilih rakyat. Bagaimanapun popularitinya merosot pada tahun yang sama beliau diangkat ke jawatan itu. Pembangkang liberal dan kiri menuduhnya menolak kompromi dan gagal menangani masalah politik dan ekonomi yang mendesak.

Sudah tentu perjuangan Islam akan terus menerima ujian dan dugaan yang hebat. Yang penting pejuang Islam tidak mudah luntur untuk menempuhi saat payah  dan sukar ini. Semoga kerajaan Islam pimpinan Morsi akan dapat bangkit kembali.

Saya tidak dapat lari daripada mengenangkan semula betapa di tanahair kita seorang pemimpin luarbiasa iaitu TGNA berjaya pula mengetuai sebuah kerajaan Islam di Kelantan dengan jayanya sehingga dia bersara secara pilihan tika di puncak selepas kurang lebih 22 tahun di tampuk pemerintahan walaupun ditimpa pelbagai tekanan dan ujian berat. 

Mungkin TGNA satu-satunya tokoh ulama yang menjadi ketua kerajaan, punyai daya tahan yang berjaya memerintah selama itu dengan pendekatan sederhana untuk diterima oleh rakyat jelata. Membuktikan kepada kita betapa TGNA adalah seorang tokoh yang unik, punyai karisma yang telah menyatukan kawan dan lawan malah mengundang respek dari orang bukan Islam juga.

Saya membaca sebuah posting di laman Kerabu Bersuara satu kenyataan rasmi oleh TGNA berkenaan isu pergulingan Presiden Morsi:

**********

Mesir : Detik Hitam Sedang Berulang

Saya melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap apa yang sedang berlaku di Mesir sekarang. Pada saya, inilah saat di mana detik hitam sedang berulang semula dalam sejarah Mesir.

Saya menyaksikan sidang media tentera yang mengumumkan rampasan kuasa dan diberitakan bahawa Sheikh Al-Azhar juga turut bersama-sama dengan tentera menyokong rampasan kuasa menggulingkan Dr Muhammad Mursi. Ini tandanya tentera tidak yakin dengan kekuatan mereka sendiri lantas menjadikan ulama sebagai sandaran untuk meyakinkan rakyat. Di mana-mana sahaja, ada ulama dipergunakan untuk menentang gerakan Islam. Tebalnya kulit kitab yang dipelajari dan panjangnya ekor serban bukan jamiman seseorang ulama itu celik politik.

Sheikh al-Azhar ialah satu jawatan, jawatan tersebut buat masa sekarang dipegang oleh penjawatnya. Namun ilmu yang ada pada Sheikh al-Azhar turut dimiliki oleh orang lain. Belum tentu jawatan ini kekal dan Allah SWT berhak menggantikan orang lain ke jawatan itu pada bila-bila masa. Samalah juga dengan jawatan mufti. Sesiapa yang menjawat jawatan ini usah sesekali menyangka ia akan kekal selama-lamanya. Sudah berlalu banyak orang yang hanya menjadi alat kepada gerakan sekular untuk melawan Islam. Tiba masanya, mereka dilontarkan ke tepi tanpa sesiapa bepaling lagi ke arah mereka.

Saya yakin rakyat Mesir tidak akan berdiam diri dengan perkembangan ini. Mursi menaiki takhta presiden dengan pilihanraya yang sah bukan dengan jalan penipuan melalui jalanraya. Jika Hugo Chavez, Presiden Venezuela yang pernah digulingkan tentera suatu masa dahulu namun akhirnya kembali semula ke tampuk kuasa kerana tekanan rakyat, saya tidak nampak ia mustahil berulang di Mesir. Kudeta dan diktator bukannya pilihan manusia lagi di era sekarang.

Insya-allah, sebagaimana Sungai Nil yang tidak berhenti mengalir, begitu juga nadi kebangkitan rakyat di Mesir pasti akan terus bergerak. Pada saya, fi zhilalil quran dan maalim fit toriq sedang melahirkan generasinya pada hari ini!

Doa dan solidariti untuk Mesir.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS).

Bertarikh : 25 Syaaban 1434H bersamaan 4 Julai 2013Masihi

**********


Nampaknya Mesir akan terus menjadi medan pergolakan yang menjadi rebutan antara pengampu Firaun dengan pengikut Nabi Musa. Sekiranya rakyat Mesir telah sudi bersabar selama 30 tahun di bawah Hosni Mubarak, nampaknya mereka tidak mahu bersabar dengan Mohamed Morsi walaupun sekadar jangkamasa setahun cuma. Suara demokrasi sudah basi. Pilihan rakyat secara sah melalui undi pilihanraya sudah gagal di ambil kira lagi. Mesir akan terus mencipta sejarah untuk kita semua mengambil iktibar dan pengajarannya.

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...