Please CLICK

Wednesday, July 23, 2025

MATLAMAT PAS


Memahami matlamat dan sejarah perjuangan sesuatu parti politik adalah penting agar kita tidak turut membabi buta atau sekadar mengikut tanpa asas ilmu yg kukuh.

Sebab itu seseorang itu wajar menghayati apa sebenarnya pegangan kita dlm sesuatu perjuangan politik atau dlm kita memberi sokongan padu kpd pemimpin.

Saya membaca artikel ini di satu posting FB, dan saya rasa ia sangat bermaklumat dan bermanfaat. Justru saya ingin kongsikan di blog politikus ini bagi menyebarluas kpd masyarakat umum. Smoga sejarah dan matlamat PAS dpt sedikit sebanyak kita fahami.

Dan saya sendiri kini faham mengapa sudah ramai bekas pemimpin dan ahli PAS yg tercicir di tgh jalan dan memilih wadah selain PAS. Rupanya itulah proses yg Allah tetapkan bagi menapis barisan kepimpinan dan keahlian sebuah perjuangan menuju kpd islam yg memerintah, bukan islam yg diperintah.

Sehingga kini PAS sudah menjadi sebuah parti yg menjadi pilihan org islam dan org melayu yg terbesar di malaysia melebihi parti2 lain. Jumlah MP drp PAS di parlimen adalah yg teramai berbanding parti2 politik melayu/islam yg lain. Ini menunjukkan betapa signifikan PAS dlm geopolitik di malaysia.


******

PAS ditubuhkan tahun 1951 oleh para penggerak Islam, dari kalangan ulama dan ilmuan berbagai bidang dan tokoh masyarakat yang terawal menentang penjajah.


Tujuannya untuk menyambung perjuangan Islam, berdakwah dan berpolitik untuk meneruskan gerakan islah dan tajdid.


Anggotanya termasuk yang miskin dan dipandang hina oleh masyarakat umum namun tetap menyumbangkan doa dan tenaga dengan ikhlas tanpa terlibat dengan pertandingan pemimpin dan meminta menjadi calon dan jawatan.


Kesemua mereka tetap pendirian walaupun tidak dipilih dalam mesyuarat agung atau muktamar. Mereka tidak dicalonkan dalam pilihan raya dan tidak mendapat projek dan balak tetapi tidak merajuk dan terus beristiqamah.


Hal ini menjadikan mereka dipelihara Allah bersama keikhlasan walaupun dianggap bodoh. Mereka yang merasakan dirinya sangat bijak tanpa hubungan erat dengan Allah pasti tidak selamat dengan rasa bijaknya sahaja. Mereka tidak mampu mengubah dasar, mengalih matlamat kerana ingin mencapai cita-citanya yang segera menggunakan PAS.


Sesiapa yang terkeliru tidak mengikuti PAS daripada awal dan hanya memintas di tengah jalan hanya rakus untuk menang dunia sahaja.


Sesiapa yang tidak istiqamah di atas aqidah, dasar dan matlamat pasti berundur, melompat, terlompat atau dilempar keluar daripada jemaah.


Bagi sesiapa yang hanya ingin berlakon, Allah Maha Mengetahui bahawa dia hanya pelakon dan akan dikeluarkan tanpa diduga dan disangka bersama pelakon tambahannya. Sesiapa yang mengubah PAS lain daripada ketetapan Allah tersebut pasti tenggelam mengikut ketetapan Allah juga.


Allah telah menetapkan ciri-ciri kepada kumpulan Islam yang dinamakan umat di dalam kalangan umat Islam yang besar dan umat manusia yang lebih besar termasuk bukan Islam yang wajib diselamatkan dengan rahmat Allah daripada Islam.


Firman Allah SWT, Surah Ali-Imran ayat 104 :


"Dan hendaklah ada di kalangan kamu (orang-orang yang beriman itu), satu ummah (kumpulan) yang berdakwah kepada kebajikan (Islam semua ajarannya) dan yang menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang-orang yang mendapat kejayaan (dunia dan akhirat)."


Ayat ini dibaca dan ditulis ketika PAS ditubuhkan. Ini boleh dilihat dalam buku Umat Islam dan Parti Islam, karangan Al-Marhum Ustaz Ahmad Azam, yang diterbitkan sebelum merdeka apabila PAS masuk kedalam gelanggang politik.


Firman Allah, Surah An-Nur ayat 55 menafsirkan maksudnya :


"Allah telah berjanji kepada kalangan orang-orang yang beriman daripada kalangan kamu dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Dia jadikan mereka golongan yang memerintah dibumi, sebagaimana dikurniakan kepada kalangan dahulu daripada mereka.


"Di mana Allah menjadikan agama yang diredainya (Islam) untuk mereka, berkuasa dan Allah menukarkan keadaan daripada mereka berada dalam ketakutan kepada keamanan. Mereka memperhambakan diri kepada Allah, dan sesiapa yang kufur selepas itu, maka merekalah orang-orang yang fasik."


Janji yang tidak diketahui jarak masa dan perjalanannya, sehingga Nabi Nuh AS dan segelintir pengikut menunggu selama lebih sembilan ratus tahun, diikuti oleh para Rasul selepasnya bersama umat masing-masing, inilah adat perjuangan Islam.


Mereka yang tidak tahu adat ini akan pasti lari lintang pukang kerana tidak nampak penghujung perjalanannya dengan mata kasar, sama seperti makhluk yang matanya sama aras dengan perutnya maka berfikir dengan isi perut, tidak dengan akal.


Mereka yang menghayatinya sanggup menunggu sehingga mati, walaupun dia tidak sempat melihat kejayaannya di masa hayat, mungkin cucu atau cicitnya beberapa generasi, namun tetap beriman kepada janji Allah yang tidak tamat riwayatnya dengan kematian seseorang.


Hal ini samalah seumpama kisah filem yang tamat dengan kematian heronya atau sekadar sampai ke Putrajaya sahaja. Kerana harapan perjuangan Islam hanya penerimaan Allah dan redanya yang tidak perlu diperbaharui atau dipinda dan diubah.


Firman Allah, Surah An-Nisa' ayat 104 :


"Jangan kamu berasa hina atau lemah ketika menghadapi penentang kamu, sekiranya kamu menderita kesakitan, mereka juga berada dalam kesakitan yang sama, namun keadaan kamu berbeza, kerana kamu berharap daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan."


Rasulullah SAW telah mentafsirkan ayat-ayat ini dalam perjuangan Islam bersama masyarakat majmuk di masa kumpulannya paling lemah ditindas di Makkah tanpa Negara dan ketika paling kuat bernegara sehingga membebaskan Makkah, dengan huraian mengikut panduan Allah bertonggakkan umat Islam dalam jemaahnya dahulu.


Bersatu dengan aqidah, dasar dan matlamat, bekerjasama dengan kawan dan lawan termasuk bukan Islam sehingga bermaaf apabila mencapai kemenangan, menjadikannya tidak sama dengan perjuangan yang lain.


Beristiqamah dengan makna teguh tidak berganjak dalam perkara thawabit (aqidah, dasar dan matlamat). Murunah (anjal, atau boleh menerima perubahan dan perbezaan) dalam perkara mutaghayyirat (menerima perubahan) dalam perkara pendekatan, uslub dan strategi.


Ia perlu diteruskan sehingga Islam menunjukkan rahmat kepada masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama dan budaya dalam keadaan Islam memimpin bukan mengikut telunjuk pihak lain.


Di samping berpadu dan bersama dalam perkara Thawabit sehingga tidak diizinkan berpecah pendapat. Berpadu juga dalam perkara Mutaghayyirat walau pun berbeza pendapat dan berkhilaf dalam urusan berparti atau berjemaah.


Tetap patuh dan setia kepada jemaah apabila sudah menjadi keputusan dalam berjemaah oleh kalangan yang  pendapatnya tidak diterima walaupun sehingga dirinya ditolak, tidak dilantik lagi atau dipecat, juga tetap bersama jemaah.


Tegasnya seseorang dan kumpulan dalam berjemaah tidak diizinkan berdegil dengan pendapatnya apabila sudah ada keputusan jemaah, inilah adab dalam kumpulan Islam sepanjang zaman. Barang siapa yang tidak berpegang kepada adab ini maka tidak layak bersama jemaah.


Maka lebih malang nasibnya kalau menunjukkan sifat menolak kalau tidak memilih dirinya, dengan sendiri mendedahkan isi hatinya bahawa dia bersama jemaah kalau dipilih berada di atas, dan tidak pula bersedia berada di bawah.


Rasulullah SAW pernah menerima pandangan orang lain dalam perkara bukan wahyu dalam peristiwa Badar dan sanggup menerima pandangan lain juga dalam perstiwa Uhud dan inilah ketetapan Allah walaupun pandangan itu menyebabkan gugurnya para syuhada yang ramai dan ramai pula mendapat kecederaan, termasuk batang tubuh Rasulullah SAW.


Bandingkan diri kita dengan Saad bin Ubadah RA yang dilucut jawatan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa Fathu Makkah, Khalid bin Al Walid RA yang dipecat oleh Khalifah Umar RA tetap bersama saf perjuangan sehingga wafat.


Begitulah juga Ka’ab bin Malik RA kerana tidak menyertai perjalanan ke Tabuk sehingga diambil tindakan disiplin dipulau beberapa bulan, tidak keluar daripada jemaah dan tidak menerima tawaran Raja Ghassan supaya meninggalkan jemaahnya. Rasulullah SAW bersabda bahawa secupak bijirin yang disumbangkan oleh sahabatku tidak sama dengan sumbangan generasi kemudian walaupun emas sebesar bukit Uhud.


Mustahil ada kalangan ahli PAS yang menyumbang sebesar bukit Uhud, maka jangan tunjuk kita lebih kuat daripada sahabat Rasulullah SAW.


Mereka yang tidak merasai kemanisan perjuangan Islam bersama fadilatnya tidak akan merasai hakikat ini. Mereka yang merasai kemanisan iman dalam perjuangan dapat membezakan di antara kawan dan wali, boleh berkawan dengan kalangan DAP dan sepertinya tetapi tidak boleh berwalikan DAP, kerana tidak beriman dan budiman.


Mereka yang tidak ada kefahaman dan kemanisan tersebut sanggup hidup dan mati bersama kalangan DAP dan yang sewaktu dengannya kerana tidak membezakan di antara kawan dan wali.   


Kepada sesiapa yang tidak berkenaan PAS sila baca firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra', ayat 36:


"Dan jangan kamu mengikut (atau bercakap atau menulis) apa-apa yang kamu tidak ada ilmu berkenaannya, sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan fikiran kamu semuaya akan disoal Allah secara bertanggungjawab dengan amanah ilmu."

 


ABDUL HADI AWANG 

Presiden PAS.


@@@

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...