Please CLICK

Showing posts with label Transformasi. Show all posts
Showing posts with label Transformasi. Show all posts

Wednesday, April 2, 2014

Indahnya Hidup Mengikut Syariaat



Alhamdulillah satu perkembangan positif berlaku di sini. Kalau sebelum ini ada cadangan daripada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa PAS agar membentangkan draf undang-undang hudud di Parlimen jika benar-benar mahu menyaksikan satu perubahan besar dalam pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Maka kini di sambut dengan penuh semangat oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk moving forward. 

Berikut kenyataan rasmi Dato Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan yang telah di paparkan kepada pengetahuan umum...


*****

Kenyataan Media

Yang Amat Berhormat Ustaz Dato Ahmad bin Yakob,
Menteri Besar Kelantan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Berikutan keputusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada hari ini, 2 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 2 April 2014M, saya ingin mengumumkan beberapa pendirian yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukuman hudud. Ianya adalah seperti berikut :

1. Kerajaan Kelantan menyambut baik kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada mana-mana kerajaan negeri termasuklah Kelantan untuk menguatkuasakan undang-undang hudud sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini di Dewan Rakyat.

2. Kerajaan Kelantan dengan ini akan menyiapkan satu rang undang-undang persendirian (private bill) yang akan dibawa ke mana-mana sidang Parlimen yang terdekat oleh salah seorang Ahli Parlimen Bukan Kerajaan bagi mendapat kebenaran untuk Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan. 

Ini kerana sebahagian besar dari kesalahan jenayah hudud dan qisas seperti mencuri, merompak, merogol, mencedera dan membunuh terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code), begitu juga agensi-agensi pelaksana seperti polis dan penjara.

3. Satu rang undang-undang persendirian (private bill) juga akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Shariah (Bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Shariah Negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukkan dalam Enakmen Hudud.

4. Kerajaan Negeri Kelantan sedia memberi jaminan bahawa sekiranya tiada halangan dari Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada dua undang-undang persendirian ini dibentang dan diluluskan di Parlimen, Insha-Allah Enakman Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 paling lewat akan berkuatkuasa di Kelantan pada tahun 2015.

Sekian, salam hormat.


(Ustaz Dato Ahmad bin Yakob)
Menteri Besar Kelantan.

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 2 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 2 April 2014M


*****



Jika benar kita semua yang mengaku beragama Islam ini mahukan tertegaknya undang2 Islam di bumi Malaysia ini maka ayuhlah bergerak ke depan. Islam bukan suatu retorik atau gimik. 

Islam ialah cara hidup yang lengkap, menyeluruh dan sempurna yang di redhai Allah untuk seluruh makhluk di muka dunia ini. Islam wujud untuk memerintah manusia seluruhnya, bukan untuk di perintah sebagaimana yang berlaku kini. 

Sekiranya kita ikhlas untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia ini, ayuh berganding bahu sama2 menyokong deraf undang2 yang akan di bentangkan di Parlimen ini. Usah lagi mempersendakan atau meragukan undang2 Allah. 

Contohi negara Brunei yang sudah menguatkuasakan undang2 Islam bermula tiga hari yang lalu walaupun mendapat pelbagai ugutan dan ancaman daripada puluhan negara luar termasuk negara2 Eropah dan Amerika. 

Jika kita ikhlas nawaitu kerana Allah, Inshaa Allah, Allah akan permudahkan dan melorongkan jalan untuk kita semua menjayakan agenda besar ini. Hanya undang2 Allah sahajalah yang dapat menyelesaikan segala permasalahan manusia kerana Allah yang mencipta manusia ini. 

Cukuplah kita berlagak hebat dan bijak selama ini. Sesungguhnya kita ini lemah. Semua milik Allah. Allah Yang Berkuasa. Dia Maha Pencipta. Kembalilah ke pangkal jalan. Pulanglah ke fitrah asal sebagai hamba Allah.

Sebagai rakyat negara ini, saya berdoa semoga kerajaan BN yang diterajui UMNO dapat memberi sokongan padu dan bekerjasama dengan pihak Pakatan Rakyat terutamanya PAS sebagai mewakili umat Islam negara ini untuk menyokong dan menjayakan deraf undang2 yang akan dibentangkan di Parlimen sebagai 'private bill' ini demi merelisasikan tuntutan Allah SWT. 

Walaupun lebih afdal dan mudah jika UMNO sendiri mewakili Kerajaan BN untuk membentangkannya di Parlimen sebagai Kerajaan Persekutuan yang memerintah. Apapun rakyat akan dapat menilai keikhlasan kedua-dua belah pihak ini. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Bagi PAS, langkah ke depan telah di ambil. Terserah untuk UMNO menyambutnya.

Usah hanya pandai bercakap tetapi bila berdepan realiti perjuangan sebenar menegakkan Islam di Malaysia ini, angkat kaki dia dan terus cabut lari atau bersembunyi disebalik pelbagai akta, birokrasi, politik, asbab dan andaian. Jadikan Kelantan sebagai test bed atau pilot run. Long journey start with the first step. Usah menipu diri sendiri lagi di hadapan Allah.

Usahlah mencari masyhur di kalangan makhluk. Tapi carilah masyhur di sisi Allah SWT.

@@@

Sunday, March 23, 2014

PRK Kajang Post Mortem



Alhamdulillah keputusan PRK Kajang pun sudah diumumkan. Pelbagai pihak telah memberi komen dan reaksi masing2. Cuba kita buat sedikit post mortem. Kita berkongsi maklumat agar faham hakikat. Dalam keributan kes kehilangan pesawat MH370 yang sudah masuk hari ke-17 yang belum mendapat penyudah konklusif, kita di hidangkan dengan PRK Kajang yang berlangsung semalam.

Seorang Pak Menteri khabarnya ada memberi komen, "DP Chew Mei Fun telah dapat pertingkat sokongan pengundi kpd BN. DS Noh dan Dt Johan, syabas kerana kerja keras, BN teruskan usaha utk jaya."

Pada PRU 13 lalu calon BN mendapat 12,747 undi manakala pada PRK 2014 calon BN Chew Mei Fun hanya mendapat 11,362 undi, iaitu perbezaan kekurangan undi 1,385 undi. Meningkat kot angle mana itu Pak? 

Jadi jelas komen Pak Menteri itu berdasarkan fakta yang salah. Sebagai rakyat bijak dan celik fakta, janganlah kita mudah menerima bulat2 apa yang dipaparkan di media. Post mortem kita hendaklah berdasarkan fakta bukan auta.

  • Kali ini calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya meningkatkan jumlah undinya kepada 59.43% berbanding 57.99% daripada jumlah undi keseluruhan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.
  • Dalam PRU13, calon PKR, Lee mendapat 57.99% undi iaitu 19,571 undi daripada 33,749 undi yang dibuang semasa pilihan raya itu.
  • Dalam PRK kali ini, Dr Wan Azizah mendapat 16,741 undi manakala calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun mendapat 11,362 undi.
  • Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 berbanding 6,824 yang dimenangi penyandang kerusi Lee Chin Cheh dalam PRU13 lalu, kurang 1,445 undi.
  • Selaras dengan peratusan keluar mengundi hanya 72% kali ini, jatuh 16% berbanding 88% pada PRU13 lalu.

Chew mendakwa, beliau berjaya menaikkan peratusan undi Cina daripada 18% dalam PRU13 kepada 24.8% dalam PRK kali ini. Satu kejayaan bagi BN. Mungkin strategi BN meletakkan calon berkaliber berbangsa cina dari parti MCA membuahkan hasil yang diharapkan.

Namun pada masa sama BN kehilangan banyak undi melayu. PKR berjaya meningkatkan undinya di kawasan melayu di samping kawasan pengundi muda. 
  • Dalam PRU13 lalu, calon BN menang 420 undi di Sungai Kantan namun kali ini hanya menang dengan majoriti 225 sahaja.
  • Di Sungai Sekamat dan Taman Delima, dua lagi daerah mengundi majoriti Melayu, PKR berjaya memenangi kawasan yang selama ini menjadi kubu Umno itu.
  • Di Sungai Sekamat, PKR menang 45 undi berbanding kalah 239 undi dalam PRU13 lalu.
  • Di Taman Delima pula, PKR menang tiga undi berbanding kalah 123 undi dalam PRU13 lalu.
  • Di Batu 10 Cheras, majoriti BN berjaya dikurangkan kepada 151 undi sahaja.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyatakan keputusan PRK ini menyaksikan penambahan kerusi kaum Melayu dan muda di kawasan majoriti Melayu. “Kita menang di Sungai Sekamat kita menang di Taman Delima ini merupakan kawasan majoriti Melayu. Sementara itu bila tengok saluran 4,5,6 di semua daerah mengundi kita menang berbanding PRU lepas secara umum saluran muda Melayu PR kita kalah, kita hanya menang di kerusi Cina dan India, berbanding PRK kali ini kita menang dengan bergaya." Rafizi merumuskan, "Ini akan membuatkan BN berada dalam keadaan tertekan dan goyah."

Apakah pengundi memilih calonnya berdasarkan kaum? Iaitu majoriti kaum melayu memilih Wan Azizah manakala kaum cina memilih Chew? PRK ini masih penuh dengan isu perkauman. Mengapa perlu lagi kita menggunakan pendekatan perkauman untuk meraih undi? Juga terserlah kempen benci membenci antara parti juga luar biasa hebatnya. 

Moving foward, apakah ini yang kita inginkan dalam senario politik matang negara? Mungkin keadaan ini subur bukan bersifat percanggahan ideologi lagi, tetapi lebih kepada kebencian dan dendam kesumat pada sentimen, kezaliman dan kekuasaan.

Saya ingin melihat senerio politik Malaysia bergerak ke depan dengan membahaskan pelbagai isu dengan wadah intelek bukan caci mencaci atau komen2 bodoh dan tidak bertanggung jawab. Berhentilah membuka mulut di media atau menulis di twitter dan media sosial kata2 yang menyerlahkan kebodohan dan kerendahan level intelek seseorang yang bergelar pemimpin. 

Sandarkan penyataan anda dengan fakta yang solid bukan sekadar pandangan sebelah pihak atau berlunaskan fakta yang salah. Rakyat sudah celik minda walaupun tidak dinafikan ramai lagi yang jahil totok yang mudah di perkotak katekkan sesuka hati namun hormatilah masyarakat kita yang mahukan sesuatu yang baik untuk negara ini. 

Cukuplah menyalahgunakan media untuk memaksa rakyat menerima segala penyataan walaupun jelas salahnya atau kabur kebenarannya. Bergeraklah menuju era pendebatan terbuka dalam sesuatu yang menyentuh kepentingan negara dan rakyat ramai.

Keadaan turut berubah menurut peredaran masa dan keadaan. Dalam kes MH370 misalnya, kalau pada awal dulu larangan keras oleh pihak polis supaya tidak menyebarkan spekulasi namun hari ini polis menyifatkan spekulasi yang menular di Internet boleh membantu siasatan dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac. "Kami memantau semua spekulasi ini kerana kita merasakan sedikit sebanyak ia membantu dalam siasatan," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

Pada pemerhatian saya banyak spekulasi bijak dan analisa2 intelek telah tersebar di internet dalam kes MH370 ini. Selagi tiada penyelesaian jelas atau persoalan demi persoalan belum terungkai secara konklusif maka spekulasi atau pandangan demi pandangan tidak bisa dibendung malah akan terus dihidangkan untuk tatapan dan penilaian semua pihak. 

Renung dan fikir. Bukankah itu antara fungsi akal yang Allah pinjamkan ini? Bukan sekadar percaya membuta tuli atau gagal menilai walaupun perkara mudah dan asas. 

Teruskan post mortem anda. Jadilah ahli masyarakat dan rakyat negara ini yang maju ke depan bukan undur ke belakang dalam mencari kebahagiaan bukan sekadar di dunia bahkan yang utama ialah mencari redha Allah dan kebahagiaan hakiki di Akhirat nanti.

@@@

Saturday, November 30, 2013

Apa Khabar Ustaz Kazim?


Ustaz Kazim telah menjadi subjek muka depan akhbar2 tempatan dua tiga menjak kebelakangan ini. Antara sebab utamanya ialah kerana beliau telah ditawarkan sebagai salah seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik oleh PM Najib. Banyak komen pro dan kontra telah dibuat oleh banyak pihak.

Ramai melihat Umno sebagai sebuah entiti sekular yang meletakkan agama di belakang perjuangan bangsa dan ekonomi. Agama bukan sebagai matlamat utama.  

Barisan pro Umno melihat perkembangan ini sebagai satu usha untuk kembalikan kepercayaan rakyat. Tengku Adnan berkata perlantikan Ustaz Kazim dapat membantu Umno meperbetulkan kekurangan dalam parti mengenai Islam. Datuk Noraini Ahmad berpandangan ia membuktikan parti itu terus melakukan transformasi politik.

Dr MAZA pula berharap masyarakat tidak mudah membuat sebarang kesimpulan terhadap dua tokoh agama iaitu Ustaz Kazim dan Dr Asyraf Wajdi sebagai ahli MT Umno. "Tahniah atas perlantikan ini, saya berharap mereka akan memberi sumbangan ke arah positif dan membaiki keadaan negara. Tahniah juga kepada Umno kerana cuba mendapatkan khidmat golongan agama, harap benar-benar bertujuan kebaikan bukan sekadar politik kepartian," katanya.

Namun abang kepada Ustaz Kazim iaitu Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias merangkap pegawai penerangan agama pejabat menteri besar Perak kurang setuju dengan perlantikan itu. "Situasi perlantikan itu hanya menguntungkan sebelah pihak berbanding tugasnya berdakwah yang boleh menyebar ilmu kepada kerajaan mahupun pembangkang." Beliau menyarankan lebih baik jika satu jawatan yang lebih sesuai diberikan kepada Ustaz Kazim supaya tugas sebagai pendakwah masih boleh dijalankan tanpa perlu ada pertentangan prinsip.

Ustaz Kazim khabarnya belum memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak perlantikan itu selagi pertemuan dengan PM tidak berlangsung bagi membincangkan tawaran perlantikan itu. "Walau bagaimana pun, saya berbesar hati dengan perlantikan itu," katanya. Sementara itu dalam akhbar Sinar Harian dimukasurat 7 hari ini disiarkan gambar menunjukkan Ustaz Kazim mengiringi Datuk Mashitah menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta Kem Tahsin. 

Ustaz Kazim juga mengesahkan bahawa dia masih ahli Pas dan tidak pernah keluar daripada parti berkenaan walaupun ada ura2 beliau pernah dipecat. Dalam pada itu Ustaz Kazim turut membidas sesetengah ahli Pas yang menghentam dan memberi komen negatif terhadap tawaran perlantikan yang diterimanya. "Pas Perak yang sepatutnya berasa malu kerana Umno yang merupakan orang luar sudi menjemput saya menjadi ahli MT sebagai penasihat," katanya.

Apa pun episod kontraversi ini berjaya menampakkan kecenderungan Ustaz Kazim sendiri yang selama ini cuba bersikap neutral sekurang-kurangnya di luaran dengan menyatakan tidak menyokong parti itu atau parti ini. Umno pula perlukan transformasi politik dengan menarik seramai mungkin tokoh agama agar dapat menyaingi Pas yang memang menjadi pilihan utama majoriti tokoh dan ilmuan agama di negara ini.

Orang melihat Umno sangat kekurangan berbanding Pas dalam mencapai sokongan ahli agama kerana setakat ini antara tokoh2 agama yang menonjol dalam Umno cumalah DS Jamil Khir, Dr Uthman Muhammady, TS Harussani, Datuk Noh Gadut, Dr Ridhuan Tee, dan Dr Fathul Bari. Apakah para ilmuan dan pendakwah bebas seperti Dr Zahazan, Dr Zaharuddin, dan Dr MAZA bakal menjadi sasaran seterusnya ke arah tranformasi politik Umno ini? Sama-samalah kita nantikan perkembangannya. 

Yang utama keikhlasan untuk menegakkan agama Allah di muka bumi dunia ini. Jika sekadar mahu menjaga kepentingan politik tanpa iltizam yang kukuh untuk menegakkan perintah Allah maka rasanya tidak akan kemana. Jika hijrah kamu kerana Allah maka kamu akan dapat Allah. Namun jika kerana yang lain maka kamu akan dapat yang kamu hajatkan itu tanpa nilaian di sisi Allah.

@@@

Friday, May 24, 2013

Pejuang Islam


Saya mengikuti olahan oleh seorang Ustaz yang juga seorang aktivitis veteran PAS dari Perak pada sebuah kuliah maghrib perihal kata hikmah no.3 daripada 265 kata2 hikmah dalam kitab al-Hikam yang sudah berusia melebihi 300 tahun yang sangat tersohor dan relevan hingga ke hari ini. Katanya,  “Mendahului oleh cita2 yang hebat tidak boleh merobohkan kota takdir.” Membawa maksud perancangan hebat macam mana pun tidak akan dapat merobah takdir Allah.

Kita selayaknya kena berusha keras tapi kita tidak bergantung kepada usha atau kerja tapi pergantungan kita mestilah 100% kepada Allah. Realitinya walaupun pahit namun kekadang ada kebaikannya, contohnya ubat yang selalunya berperisa pahit boleh menjadi asbab kesembuhan pelbagai penyakit. Sebaliknya sesuatu yang manis pula kekadang membawa keburukan dan mudarat, contohnya boleh mengakibatkan penyakit kencing manis. Takdir Allah tidak akan berubah malah sudah termaktub dan digezetkan sejak azali.

Takdir pula terbahagi dua iaitu bersyarat dan tanpa syarat. Contoh takdir tanpa syarat ialah kematian. Makan ubat pun mati. Orang yang bagi ubat pun mati. Doktor pun mati. Takdir bersyarat pula contohnya ialah kemenangan Islam. Kemenangan Islam tetap akan berlaku tapi ianya bersyarat. Bilakah Islam akan menang? Pada waktu yang Allah tentukan.

Berdoalah nescaya Allah akan makbulkan. Ada kisah seorang hamba Allah yang ditawan oleh perompak yang mengancam untuk membunuhnya. Dia meminta kebenaran mereka  untuk terlebih dahulu menunaikan solat sekadar dua rakaat sebelum dibunuh dan dibenarkan oleh perompak itu. Dalam sujudnya dia berdoa penuh tawadduk agar Allah musnahkan perompak2 itu. Doa itu dimakbulkan Allah pada kadar segera dengan menghantar malaikat membunuh perompak itu. 

Berbeza pula dengan doa Nabi Musa supaya dimusnahkan Firaun. Allah hanya perkenankan doa Nabi Musa 40 tahun kemudian dengan terbunuhnya Firaun dan pengikutnya ditelan Laut Merah.

Doa kita juga kekadang dimakbulkan dengan diganti oleh Allah dalam bentuk yang lain, iaitu yang lebih baik dan sesuai dengan empunya diri. Kekadang Allah makbulkan doa dengan menolak bala atau ujian yang bakal menimpanya.

Maka undang2 atau peraturan kemenangan Islam ialah kita para pejuang kena yakin tanpa syak dan ragu bahawa Islam akan menang. Dalam perjuangan Islam akan sentiasa ada pihak yang menang dan pihak yang kalah. Umpamanya Perang Badar dimenangi oleh pihak Islam manakala Perang Uhud dimenangi oleh puak kufur. Kemenangan memanglah sesuatu yang manis dan diharapkan dalam setiap perjuangan dan pertandingan. Itu hukum alam.

Selepas Perang Badar Allah menurunkan ayat2 peringatan iaitu sesungguhnya Allah tolong kamu kerana kamu lemah dan bilangan kamu yang sedikit. Kamu menang tapi jangan sombong. Kembalilah kepada Allah dan takutlah kamu kepda Allah. Pembahagian harta rampasan perang buatlah elok2 dan dengan adil. Jangan sombong dengan kemenangan. Menghalau rakyat sendiri supaya keluar dari Negara sendiri adalah satu penyataan sombong dan angkuh dan contoh terbaik pemimpin yang sombong dalam meraikan kemenangannya.

Perang Uhud walaupun tewas, Allah menurunkan ayat2 semangat jangan kamu rasa hina dengan kekalahan ini dan jangan terus berdukacita. Kamulah yang tinggi darjat dan mencapai kemenangan hakiki kerana kamu beriman. Kamu menang walaupun mati kerana kamu mempertahankan iman. Kamu hebat walaupun kalah kerana kamu beriman.

Apatah lagi jika kamu kalah kerana manipulasi sistem dan muslihat tipu daya. Ibarat satu perlawanan bola. Kamu mengikut segala peraturan pertandingan yang ditetapkan oleh pihak penganjur  dan pengadil perlawanan. Kamu patuh menurunkan pemain2 yang dibenarkan iaitu para pemain tempatan. Tiba2 pasukan lawan main kotor dengan menurunkan pemain2 import temasuklah dari Bangla, Indonesia dan Filipina. Pintu gol mereka pula dikecilkan supaya menjadi kesukaran melampau untuk menjaringkan gol walaupun kamu punyai striker yang lincah dan strategi yang canggih. 

Tika berjaya menjaringkan gol pula ia dibatalkan oleh pengadil berat sebelah dan dituduh offside atau curi ayam. Dan yang paling tak tahan sekali mereka asyik alihkan tiang gol mereka. Menjadikan kemenangan kamu sebagai mission impossible.

Tapi redhalah pada ketentuan Allah dan tetap yakinlah tanpa ragu akan janji Allah bahawa kemenangan Islam akan dizahirkan. Bila? Allah yang akan tentukan masa dan ketikanya. Tugas para pejuang Islam ialah berjuang nawaitu kerana Allah. Usah bergantung harap pada makhluk tetapi bertwakkal dan bergantung haraplah kepada pencipta makhluk iaitu Allah Yang Maha Berkuasa.

Dengan kembali taat dan patuh kepada segala perintah Allah dan Rasul-Nya maka peperangan demi peperangan selepas Perang Uhud terus membawa kemenangan demi kemenangan kepada Islam hatta berjaya menundukkan kuasa besar dunia kala itu iaitu Rom dan Parsi.

Allah nak buktikan bahawa pejuang Islam ini terdiri daripada orang2 yang betul2 beriman. Setiap kemenangan itu diraikan dengan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah. Gunakan nikmat kemenangan itu untuk mendaulatkan Islam. Kalau takut kalah dalam perjuangan maka usah masuk dalam perjuangan. Menang itu adalah anugerah Allah dan kalah itu ujian Allah.


@@@

Monday, May 13, 2013

Transformasi Pilihanraya




Hari ini ialah tarikh keramat 13 Mei. Teringat saya dulu movie 'Friday the 13th', cerita seram yang sequel nya sampai 4 atau 5 siri tentang Jason yang gila bunuh orang. Tapi hari ini bukan Friday tapi Monday. Cumanya 13 Mei dalam sejarah negara kita ialah satu titik hitam perbalahan kaum. Semoga kita dapat mengambil pengajaran dan iktibar daripada sejarah silam agar lebih matang dan bersedia menghadapi masa depan yang lebih menarik. Isu perkauman usah dijadikan alat propoganda murahan lagi.

We live The Present. We learn from The Past. We plan for The Future. Kita baru tamat PRU13. Harapnya ada transformasi untuk kebaikan rakyat akan berlaku demi masa depan yang gemilang.

Agama itu satu nasihat. Dan menjadi tanggungjawab kita semua yang menjadi pewaris Nabi untuk menyampaikan nasihat kerana Allah. Saya bicara dengan seorang teman tempoh hari tentang negara Korea dan Jepun yang katanya banyak mengamalkan sistem hidup Islam terutamanya dalam aspek kebersihan, kebajikan rakyat, penggunaan masa yang efisyen, sikap amanah dan jujur dalam kehidupan. Berbeza pula di negara2 Islam sendiri yang tidak menitik beratkan soal ini.

Kita ambil contoh dalam negara kita soal rasuah, soal menipu dan soal fitnah memang menjadi permasalahan rutin. Soal kebersihan di Kelantan misalnya masih menjadi perbualan ramai pada negatifnya walhal pemerintahan Islam di sana di bawah PAS sudah sekian lama. Berbanding pula dengan Penang yang memang terkenal dengan kebersihannya walaupun di bawah pentadbiran DAP. Walaupun soal pimpinan yang amanah dan tidak rasuah memang sinonim dengan kedua-dua negeri ini dan sukar hendak dinafikan kawan dan lawan.

Rakyat ternanti-nanti apakah bentuk kabinet yang akan diumumkan DS Najib. Apakah pemimpin kitar semula seperti Jamaluddin Jarjis dan Tg Adnan akan muncul semula bersama lantikan senator untuk Ali Rustam dan Ghani Othman? Dan apakah banyak muka2 baru seperti KJ dan Halimah Sadique akan termasuk dalam senarai? Hendaknya PM berani untuk menonjolkan lebih ramai watak2 segar dalam transformasi ini.

PRU13 menyaksikan ramai star dalam kelompok PR kecundang untuk bersuara di Parlimen. Mereka ini bagi saya ialah tokoh2 yang dapat mengetuk minda MP dari BN untuk peka dan lebih sedia bila berhujah. Antara yang saya maksudkan ialah Saifudin Nasution, Mat Sabu, Salahuddin Ayub, dan Husam Musa. Walaupun ia terubat dengan kemasukan bintang baru iaitu Rafizi Ramli dan Nasrudin Hasan.

Ada 30 kerusi parlimen khabarnya akan dicabar keputusannya dalam masa 21 hari selepas keputusan SPR di gazetkan dalam petisyen kepada mahkamah berkenaan beberapa kes di luar tabii. Sehingga saat itu pihak PR giat menganjurkan himpunan bantahan rakyat Blackout 505 yang nampaknya berjalan lancar tanpa gangguan FRU bersama water canon. Apakah ini satu ruang yang diberikan pihak berkuasa atas nama himpunan aman? 

Ada kawan saya mempersoalkan rasional himpunan seumpama ini dianjurkan seolahnya keputusan PRU13 ditolak oleh PR? PR tidak menolak secara total keputusan PRU namun segala kelemahan dan penipuan mestilah diteliti. Rasa saya PR mahu mengekalkan momentum dan peka rakyat pada penyelewengan dalam PRU13 yang timbul. Yang sudah tentu segala bukti dan saksi sedang dikumpulkan untuk tujuan petisyen bantahan rasmi. Berdiam diri akan memberi gambaran semuanya ok seolah-olahnya segala perlakuan di luar tabii yang berlaku diakui tidak berlaku. Mengikut Rafizi Ramli, ada 237 laporan kes penipuan dalam PRU telah diterima setakat ini. 

Pada PRU14 rasa saya BN akan terus kekal berkuasa selagi mana tidak ada usaha untuk mengubah semula percaturan master plan yang meletakkan kerusi berpahat pada sempadan kawasan yang menyaksikan jumalah populasi pengundi kerusi2 kawasan bandar begitu tinggi berbanding kerusi di kawasan luar bandar dan pendalaman. 

Kita ambil contoh P109 Kapar menyaksikan 123,495 (88.10%) orang keluar mengundi untuk mengangkat kemenangan satu kerusi kepada G.Manivannan calon PKR. Atau P122 Seputeh yang dimenangi Teresa Kok calon DAP dengan 71,448 (83.6%) orang keluar mengundi. 

Cuba kita bandingkan dengan kemenangan Ago Anak Dagang calon BN di P210 Kanowit yang hanya perlukan 13,467 (70.72%) orang keluar mengundi untuk jumlah kerusi yang sama. Atau Sapawi Amat Wasali di P178 Sipitang menyaksikan 23,790 (83.6%) orang keluar mengundi.

Secara logiknya parlimen Kapar itu sepatutnya dipecahkan menjadi  tiga kerusi. Namun memandangkan ia kerusi pihak PR maka dikhuatiri ketiga-tiga kerusi bakal menjadi milik PR jika dipecahkan, maka sudah tentu persempadan semula tidak akan dilakukan. Namun kita sangat berharap persempadanan semula yang biasa dilakukan setiap 10 tahun sekali itu bakal memberi sedikit perubahan untuk PRU akan datang.




Kemenangan BN di Sabah & Sarawak adalah sebanyak 48 kerusi daripada keseruhan 133 Kerusi dan ini merupakan jumlah yang sangat besar iaitu 36%. Berbanding dengan PR yang hanya berjaya mendapat 9 kerusi sahaja daripada keseluruhan 89 kerusi yang dimenanginya iaitu cuma sekitar 9% sahaja. Maka sangat benarlah Sabah & Sarawak kekal menjadi deposit tetap BN. 

Taburan jumlah pengundi sekitar 15,000 - 30,000 di kawasan luar bandar dan pendalaman sangat memberi keuntungan kepada BN kerana jumlah kerusi yang banyak dipasangkan dengan nisbah jumlah pengundi yang sedikit. Manakala di kawasan urban PR mendapat kemenangan tetapi jumlah kerusi yang diperolehi jauh lebih sedikit jika dinisbahkan dengan jumlah pengundinya. Itu lah percaturan politik yang di tinggalkan oleh penjajah dan diwarisi oleh kita hingga ke hari ini tanpa ada transformasi. Sebab itulah jumlah undi popular tidak semestinya diterjemahkan kepada banyaknya kerusi parlimen yang dimenangi.

Kawan saya Zack bagitau, "Masalah utama PR ialah informasi tidak sampai di luar bandar dan kawasan pendalaman. Kita perlukan satu stesen TV ataupun satu pusat serenti internet yang memaparkan seluruh ceramah terkini para pemimpin PR." Apa yang ada sekarang ini hanya 'bit and pieces' di internet. 


Sebab itulah Rais Yatim mantan menteri tanpa langsung agenda transformasi ini bersekongkol dengan SPR untuk tidak segan dan malu untuk memberi ruang hanya sekadar 10 min kepada PR untuk rakaman siaran satu kali penerangan manifesto PR di TV. Maka elok sangat dia ini di bersarakan terus once and for all. Nak harapkan debat antara DSAI dgn DSNR di TV memang angan2 mat jenin terus.

Saya pula berpendapat selagi PR tidak ada TV atau Radio atau akhbar arus perdana yang boleh di capai rakyat di luar bandar dan pendalaman maka BN akan terus miliki kelebihan. Polisi monopoli media arus perdana adalah untuk survival BN. Tiada transformasi di sini rasa saya akan berlaku selagi mana BN berkuasa. Apa saja kompromi bakal menyaksikan BN berkubur terus. 

Cengkaman pengaruh BN di masyarakat luar bandar sangat kukuh. Maka dengan belian undi atau pelaburan RM50 seorang pun oleh BN di musim mengundi bakal menjanjikan jumlah undi yang diimpikan dari para pengundi di kawasan pendalaman ini terutamanya di Sabah & Sarawak. I believe BN will still be the King come PRU14 if this scenario doesn't change.

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...