Please CLICK

Showing posts with label Wakil Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Wakil Rakyat. Show all posts

Sunday, March 23, 2014

PRK Kajang Post Mortem



Alhamdulillah keputusan PRK Kajang pun sudah diumumkan. Pelbagai pihak telah memberi komen dan reaksi masing2. Cuba kita buat sedikit post mortem. Kita berkongsi maklumat agar faham hakikat. Dalam keributan kes kehilangan pesawat MH370 yang sudah masuk hari ke-17 yang belum mendapat penyudah konklusif, kita di hidangkan dengan PRK Kajang yang berlangsung semalam.

Seorang Pak Menteri khabarnya ada memberi komen, "DP Chew Mei Fun telah dapat pertingkat sokongan pengundi kpd BN. DS Noh dan Dt Johan, syabas kerana kerja keras, BN teruskan usaha utk jaya."

Pada PRU 13 lalu calon BN mendapat 12,747 undi manakala pada PRK 2014 calon BN Chew Mei Fun hanya mendapat 11,362 undi, iaitu perbezaan kekurangan undi 1,385 undi. Meningkat kot angle mana itu Pak? 

Jadi jelas komen Pak Menteri itu berdasarkan fakta yang salah. Sebagai rakyat bijak dan celik fakta, janganlah kita mudah menerima bulat2 apa yang dipaparkan di media. Post mortem kita hendaklah berdasarkan fakta bukan auta.

  • Kali ini calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya meningkatkan jumlah undinya kepada 59.43% berbanding 57.99% daripada jumlah undi keseluruhan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.
  • Dalam PRU13, calon PKR, Lee mendapat 57.99% undi iaitu 19,571 undi daripada 33,749 undi yang dibuang semasa pilihan raya itu.
  • Dalam PRK kali ini, Dr Wan Azizah mendapat 16,741 undi manakala calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun mendapat 11,362 undi.
  • Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 berbanding 6,824 yang dimenangi penyandang kerusi Lee Chin Cheh dalam PRU13 lalu, kurang 1,445 undi.
  • Selaras dengan peratusan keluar mengundi hanya 72% kali ini, jatuh 16% berbanding 88% pada PRU13 lalu.

Chew mendakwa, beliau berjaya menaikkan peratusan undi Cina daripada 18% dalam PRU13 kepada 24.8% dalam PRK kali ini. Satu kejayaan bagi BN. Mungkin strategi BN meletakkan calon berkaliber berbangsa cina dari parti MCA membuahkan hasil yang diharapkan.

Namun pada masa sama BN kehilangan banyak undi melayu. PKR berjaya meningkatkan undinya di kawasan melayu di samping kawasan pengundi muda. 
  • Dalam PRU13 lalu, calon BN menang 420 undi di Sungai Kantan namun kali ini hanya menang dengan majoriti 225 sahaja.
  • Di Sungai Sekamat dan Taman Delima, dua lagi daerah mengundi majoriti Melayu, PKR berjaya memenangi kawasan yang selama ini menjadi kubu Umno itu.
  • Di Sungai Sekamat, PKR menang 45 undi berbanding kalah 239 undi dalam PRU13 lalu.
  • Di Taman Delima pula, PKR menang tiga undi berbanding kalah 123 undi dalam PRU13 lalu.
  • Di Batu 10 Cheras, majoriti BN berjaya dikurangkan kepada 151 undi sahaja.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyatakan keputusan PRK ini menyaksikan penambahan kerusi kaum Melayu dan muda di kawasan majoriti Melayu. “Kita menang di Sungai Sekamat kita menang di Taman Delima ini merupakan kawasan majoriti Melayu. Sementara itu bila tengok saluran 4,5,6 di semua daerah mengundi kita menang berbanding PRU lepas secara umum saluran muda Melayu PR kita kalah, kita hanya menang di kerusi Cina dan India, berbanding PRK kali ini kita menang dengan bergaya." Rafizi merumuskan, "Ini akan membuatkan BN berada dalam keadaan tertekan dan goyah."

Apakah pengundi memilih calonnya berdasarkan kaum? Iaitu majoriti kaum melayu memilih Wan Azizah manakala kaum cina memilih Chew? PRK ini masih penuh dengan isu perkauman. Mengapa perlu lagi kita menggunakan pendekatan perkauman untuk meraih undi? Juga terserlah kempen benci membenci antara parti juga luar biasa hebatnya. 

Moving foward, apakah ini yang kita inginkan dalam senario politik matang negara? Mungkin keadaan ini subur bukan bersifat percanggahan ideologi lagi, tetapi lebih kepada kebencian dan dendam kesumat pada sentimen, kezaliman dan kekuasaan.

Saya ingin melihat senerio politik Malaysia bergerak ke depan dengan membahaskan pelbagai isu dengan wadah intelek bukan caci mencaci atau komen2 bodoh dan tidak bertanggung jawab. Berhentilah membuka mulut di media atau menulis di twitter dan media sosial kata2 yang menyerlahkan kebodohan dan kerendahan level intelek seseorang yang bergelar pemimpin. 

Sandarkan penyataan anda dengan fakta yang solid bukan sekadar pandangan sebelah pihak atau berlunaskan fakta yang salah. Rakyat sudah celik minda walaupun tidak dinafikan ramai lagi yang jahil totok yang mudah di perkotak katekkan sesuka hati namun hormatilah masyarakat kita yang mahukan sesuatu yang baik untuk negara ini. 

Cukuplah menyalahgunakan media untuk memaksa rakyat menerima segala penyataan walaupun jelas salahnya atau kabur kebenarannya. Bergeraklah menuju era pendebatan terbuka dalam sesuatu yang menyentuh kepentingan negara dan rakyat ramai.

Keadaan turut berubah menurut peredaran masa dan keadaan. Dalam kes MH370 misalnya, kalau pada awal dulu larangan keras oleh pihak polis supaya tidak menyebarkan spekulasi namun hari ini polis menyifatkan spekulasi yang menular di Internet boleh membantu siasatan dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac. "Kami memantau semua spekulasi ini kerana kita merasakan sedikit sebanyak ia membantu dalam siasatan," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

Pada pemerhatian saya banyak spekulasi bijak dan analisa2 intelek telah tersebar di internet dalam kes MH370 ini. Selagi tiada penyelesaian jelas atau persoalan demi persoalan belum terungkai secara konklusif maka spekulasi atau pandangan demi pandangan tidak bisa dibendung malah akan terus dihidangkan untuk tatapan dan penilaian semua pihak. 

Renung dan fikir. Bukankah itu antara fungsi akal yang Allah pinjamkan ini? Bukan sekadar percaya membuta tuli atau gagal menilai walaupun perkara mudah dan asas. 

Teruskan post mortem anda. Jadilah ahli masyarakat dan rakyat negara ini yang maju ke depan bukan undur ke belakang dalam mencari kebahagiaan bukan sekadar di dunia bahkan yang utama ialah mencari redha Allah dan kebahagiaan hakiki di Akhirat nanti.

@@@

Tuesday, January 28, 2014

MB Baru Selangor ?


Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan peletakan jawatan ADUN Kajang, Bendahari AMK, Lee Chin Cheh. Berikutan kekosongan kerusi itu, mesyuarat pimpinan PR memutuskan untuk meletakkan DSAI, Ketua Umum PKR sebagai calon yang akan mewakili gabungan parti itu. 

"SAYA mengucapkan jutaan terima kasih dan terhutang budi kepada semua pengundi di Kajang yang telah memberi peluang kepada saya menjadi wakil rakyat DUN N25 Kajang. Saya terharu dengan kemurahan hati pengundi-pengundi di Kajang yang telah memberi kerjasama dan kepercayaan selama ini kepada saya. Keputusan saya untuk mengosongkan kerusi DUN N25 Kajang adalah untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat Selangor."  -Lee Chin Cheh, Kuala Lumpur, 27 Januari 2014.

Salahuddin Ayub yang mewakili PAS pada masa Sidang Media mengumumkan DSAI sebagai calon PRK Kajang sudah pun menyatakan PAS memberi sokongan penuh keputusan PKR yang meletakkan ketua umumnya DSAI sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.

Itu yang menarik dalam bidang politik ini. Sesuatu yang tidak disangka boleh saja menjadi berita hangat. Antara berita utama ialah soal penggantian MB Selangor, YB Khalid Ibrahim. Berita ini bukan berita baru. Sejak usai PRU13 lagi, jawatan panas ini diperkatakan orang. Antara watak pencetusnya di muka depan ialah YB Azmin Ali.

Selangor ini bukan sebarang negeri. Selangor adalah negeri paling maju di Malaysia. Jumlah pendapatan negeri ini sangat besar. Selangor adalah negeri pencetus perubahan. Pada perspektif strategi politik, Selangor sangat penting. Ia sering menjadi lubuk emas BN sebelum dirampas oleh PR. 

Sesiapa yang dapat menguasai negeri Selangor akan menjadi tokoh utama, bukan pelakon tambahan. Pabila timbul cerita YB Khalid Ibrahim mahu digantikan maka ramai para pendokong bertanya apa kurang atau silapnya MB ini sehingga sampai mahu digantikan dengan tokoh lain pula? Bukankah jumlah reserve kerajaan negeri sudah mencapai angka RM2.8 Bilion lebih di bawah pimpinan YB MB Khalid Ibrahim? Bukti jelas prestasi hebat dan kewibawaan tokoh korporat turn politician ini.

Saya berpendapat ia bukan soal MB Khalid tidak bagus, namun Selangor sangat memerlukan tokoh yang lebih agresif dan faham bukan sekadar gambaran besar negeri Selangor malah melangkaui isu-isu nasional dan percaturan politik nasional yang lebih menyeluruh. Apatah Selangor ini menjadi pusat catalyst dan pencetus gerakan menjana perubahan politik negara. 

Selangor (dan KL) sering menjadi pusat gerakan protes dan menunjuk perasaan ketidak puashatian dan gerakan memperjuang suara hati naluri rakyat banyak termasuklah soal kritikal seperti kenaikan kos hidup dan kezaliman pemerintah. Saya rasa YB Khalid sedar situasi ini untuk sekian lama namun mahu bertahan mengikut arus dalam menunaikan segala amanah yang diberikan without fear or favor.

Pada pemerhatian saya, YB Khalid tidak mahu meletak jawatan untuk mudah di beri kpd Azmin. Namun mungkin lebih setuju kalau diberi kpd mentor beliau iaitu DSAI. Justru untuk melayakkan DSAI menjadi MB, maka DSAI kenalah menjawat ADUN dulu. Maka itulah PRK Kajang ini diwujudkan. The rest is history in the making. 

Sudah tentulah pelbagai komen negatif diberikan seperti PRK ini suatu kes pembaziran duit rakyat, atau apakah DSAI sudah give-up untuk jadi PM, malah ketua Pemuda PAS Selangor pula memberi ugutan untuk memboikot, dan KJ dgn komen sinis mencadangkan supaya DSAI melantik diri sebagai Sultan Melaka. 

Hakikat politiknya ialah rakyat Selangor In Shaa Allah bakal mendapat MB baru iaitu seorang ikon unik yang sudah melalui segala mehnah dan sepak terajang politik yang terbukti dia tetap pemimpin utuh, lasak dan relevan iaitu DSAI.

YB Khalid mungkin akur jika DSAI menggantikannya nanti, bukannya Azmin. Maka itu penyelesaiannya. Cumanya mungkin PAS pun nak calon PAS jadi MB atas restu Sultan. Krisis yg bakal tercetus. Cumanya rekod PAS sebagai MB ini agak kurang baik di Perak, Kedah dan Terengganu kerana dijatuhkan oleh helah BN dalam masa singkat. Jadi elok benar Selangor kekalkan MB daripada PKR. 

Apa pun kita merancang maka Allah juga merancang. Yakinlah segala yg berlaku ada hikmahnya. Jika ditakdirkan DSAI yg akan menjadi MB Selangor, doa kita Selangor akan terus hebat sebagai pusat ilmu, pencetus perubahan yang boleh menjana perubahan peringkat nasional pula menuju PRU14 nanti. Jawatan MB selalunya payah orang nak lepaskan. Tanyalah MB Pahang, KM Sarawak, dan MB N9 sebagai contoh. 

Biarkan para pencatur strategi bertindak dan para pendokong menyokongnya. Yang penting kita mahukan pemimpin bertaqwa yang faham agama dan boleh diharap untuk memegang amanah Allah.

@@@

Wednesday, May 1, 2013

Wakil Rakyat

Islam Yang Memimpin
Bukan Islam Yang Di Pimpin

Tinggal tiga hari sahaja lagi untuk rakyat memilih wakil. Calon yang dipilih secara majoriti akan dinobatkan sebagai wakil rakyat. Dia akan menjadi wakil kepada rakyat, membela nasib rakyat. Wakil rakyat sepatutnya menjadi pekerja bawahan kepada rakyat. Apa yang rakyat luahkan mestilah wakil rakyat ambil perhatian dan tindakan. Wakil rakyat kena peka pada keperluan rakyat. Memberi solusi yang memberi benefit kepada rakyat. Itu antara ciri wakil rakyat yang baik.

Ciri2 wakil rakyat yang jahat pula ialah yang sentiasa peka untuk menjaga kepentingan diri dan kroni dengan sibuk bergaya, menjutawankan diri, mengambil dan mengumpul harta pada setiap ruang walaupun sepatutnya menjadi hak rakyat marhain. 

Wakil rakyat yang jahat suka menipu, berbohong dan menjadikan amalan rasuah sebagai budaya hidup. Dia meletakkan kebajikan rakyat sebagai prioriti yang tercorot, dan sangat tidak ambil risau soal amanah, dosa dan pahala. Maka sepatutnya rakyat tidak memilih seorang wakil yang sebegini.

Pada hari ahad ini rakyat akan keluar membuang undi untuk memilih wakil rakyat. Jumlah rakyat yang mendaftar sebagai pengundi dan tersenarai dalam senarai SPR ialah seramai 13,291,385 orang kesemuanya yang mana 21.69% iaitu 2.37juta org merupakan pengundi first timer. 

Dari jumlah keseluruhan pengundi 41.86% adalah pengundi muda iaitu 22.76% berumur antara 30-39 tahun dan 19.1% merupakan pengundi dalam lingkungan usia 21-29 tahun. Maknanya kelompok pengundi muda bakal memainkan peranan besar menentukan masa depan negara dengan corak kerajaan bagaimana yang mereka inginkan.

Kelompok umur pengundi selebihnya ialah 21.85% pengundi di usia 40-49 tahun, 18.39% antara 50-59 tahun, 10.73% umur 60-69, 5.24% di usia 70-79, 1.58% di usia emas 80-89 tahun dan selebihnya 0.35% pada usia 90 tahun dan ke atas.

Analisa saya mudah iaitu saya bahagikan jumlah pengundi yang layak mengundi di PRU13 kepada empat kumpulan utama. Pertama penyokong BN yang sudah semestinya akan memangkah calon BN walau apa pun pandangan orang lain atau kebobrokan yang di dedahkan setiap hari di media alternatif atau ceramah2 politik serata negara.

Kedua penyokong PR yang semestinya akan memangkah PR walau sebanyak mana pun video lucah, taburan fitnah, cerita sensasi, cerita tak masuk akal atau negatif yang di paparkan di akhbar Utusan Meloya dan TV tiga suku perihal PR.

Ketiga saya kategorikan sebagai kelompok atas pagar yang "can go either way", samada depa akan pangkah PR atau BN pada hari pengundian nanti. Antara faktor yang boleh mempengaruhi kumpulan atas pagar ini ialah cerita2 propaganda semasa di TV dan akbar, faktor calon, umpan duit dan imbuhan segera pilihanraya yang diberikan termasuk juga pengaruh keluarga, teman dan lawan.

Kumpulan keempat dan terakhir bagi saya sudah tentulah pengundi2 baru iaitu yang berjumlah 2.37 juta orang itu. Fresh from the oven. Maka terpulanglah kepada pihak2 berkepentingan dan rakyat prihatin sekelian untuk menarik pengaruh mereka untuk diterjemahkan pada pangkahan di kertas undi pada 5 Mei nanti. 

Kalau tanggapan majoriti meraka ini anak muda yang lingkungan usia antara 21-29 tahun maka kemungkinan besar pendedahan kepada media alternatif termasuk facebook menyebabkan mereka cenderong menyokong PR. 

Atau kalau digambarkan anak muda yang gemar hiburan, sukan dan kesukaan di tambah dengan pengalaman yang masih mentah untuk lebih serius dalam percaturan politik, boleh jadi juga majoriti mereka ini memihak kepada BN kerana BN lebih gemar membudayakan hiburan, kebebasan dan kesukaan anak muda.

Dua hari lepas saya berborak dengan kawan2 sepejabat di meja makan kantin syarikat, dengan saya menghujahkan empat kelompok seperti di atas. 

Seorang kawan terus memberi reaksi serius, "Aku orang BN, tapi kali ini aku akan pangkah PR." Saya terkedu dan agak terkejut juga. "Kenapa awak nak pilih PR?" tanya saya. "Sebab aku lihat offering daripada PR lebih baik daripada BN." Hmmm saya berfikir rupanya ada kelompok sebegini. Orang BN yang akan pangkah PR. Bagaimana pula dengan orang PR? Adakah ada antara orang PR yang akan pangkah calon BN kali ini?

Saya meminta pandangan seorang kawan yang memang seorang petugas BN dulu kini dan selamanya untuk pengesahan. "Ada ke orang BN yang akan pangkah PR?" Dia pun menjawab memang ada dan ramai. "Berapa ramai?" tanya saya sangat ingin tahu. Katanya 40% atau boleh mencapai sehingga 50%. Wow terkejut beruk saya.

Saya bertanya lagi. "How about orang PR, ada tak yang pangkah calon BN?" Dia jawab, "Ada." Saya tanya lagi, "Berapa ramai, in term of percentage?" Dia menjawab, "Around 20%. Ini merupakan orang2 yang asalnya orang BN dan masuk PR mengharapkan pelbagai kepentingan dan habuan." Saya terus bertanya, "Awak rasa 20% sahaja atau boleh naik lagi?" Jawabnya, "20% sahaja maksima."

"Aku sendiri pun akan pangkah PR kali ini," katanya. Saya terus mengajaknya membuat analisa big picture kelompok pengundi yang ada secara lebih terperinci. Dia setuju analisa empat kategori seperti mana saya sebut di atas. "Aku dalam kategori atas pagar," katanya tanpa saya pinta. Kelompok atas pagar dia letakkan sebagai 40% daripada keseluruhan jumlah pengundi berdaftar. Pengundi baru 20%, Hardcore BN sekitar 20% dan hardcore PR sekitar 20%. 

Kita mesti ingat popular votes pada PRU12  yang lalu ialah 49% untuk PR dan 51% untuk BN. Maknanya jumlah orang yang pangkah calon PR dan calon BN adalah seimbang 50-50. The fight cannot be closer than that. Namun begitu 49% popular votes untuk PR itu hanya diterjemahkan kepada 80 kerusi parliman sahaja iaitu hanya 36% daripada jumlah 222 keseluruhan kerusi parliman.

Segala tipudaya pilihanraya masih akan terus berlaku walaupun SPR memberi pelbagai helah dan alasan. Tapi kali ini mungkin berkurangan memandangkan rakyat sekelian terutama dari kelompok PR sangat peka dan akan menjadi pemantau sukarela dan bersedia membuat citizen arrest terutamanya kepada para pengundi 'hantu' dari kelompok warga asing yang diberi IC dan didaftar sebagai pengundi sah dalam senarai SPR.

Sebagaimana seruan dan rayuan seorang mantan MP supaya para pengundi keluar mengundi awal dengan peratusan keluar mengundi yang ramai, kalau boleh sasaran 90% ke atas pada setiap kawasan kerusi DUN atau Parlimen. Supaya dengan peratusan yang tinggi boleh somehow "off-set" segala manipulasi atau trick lama yang berlaku.

Mitos undi "tidak rahsia" dan apa yang awak pangkah BN boleh trace yang selalu digunakan sebagai ugutan untuk menakutkan kakitangan kerajaan terutamanya supaya memangkah calon BN, mungkin tidak benar pun. Tapi ia sangat berkesan. 

Rakan sepejabat saya yang saya pun masih musykil samada dia ini penyokong PR atau BN, memberitahu bahawa isterinya yang berpangkat penolong pengarah sebuah agensi kerajaan sanggup untuk tidak keluar mengundi demi untuk menjaga periuk nasinya kerana ditakutkan dengan mitos, "Jika undi PR maka tak naik pangkat atau tak naik gaji atau lebih parah kalau ditukar ke tempat lain." 

Rakan saya ini menambah, isterinya terpaksa pangkah BN walaupun dalam hatinya ingin memangkah PR, jadi dia mengambil jalan tengah iaitu tidak keluar mengundi at all. 

Saya memberi pandangan kepadanya, "Salah tu awak meletakkan pemberian rezki, pangkat, gaji dan seumpamanya bergantung kepada makhluk. Kerana itu semua kerja Allah belaka." Ramai yang memangkah BN tapi masih kekal di takok lama, tak naik pangkat dan tak naik gaji pun. Maka takut tak naik pangkat atau gaji itu hanya mitos budaya ugutan pilihanraya sahaja.

Ada seorang sahabat yang kini merupakan seorang pegawai kanan kerajaan di Putrajaya memberitahu, "Aku ni dari dulu lagi pangkah PAS, tapi setakat hari ni tak ada masalah. Pangkat naik, gaji naik tiap2 tahun, tak kena tukar gi mana2, tak ada masalah."

Pagi tadi semasa memandu ke pejabat saya mendengar iklan SPR di radio yang menyatakan bahawa ada tiga kerani petugas SPR di setiap pusat mengundi di mana kerani pertama dibekalkan senarai nama pengundi (ada no siri). Manakala kerani yang ketiga ada kertas undi (ada no siri). Maka tidak akan berlaku kerani yang berbeza ini menulis no siri kertas undi yang diberikan pada senarai nama pengundi. Kerana di hadapan mereka ada pemerhati dari parti politik BN dan PR yang akan memerhati mereka "like a hawk". 

Tapi tidak dinafikan mungkin masih boleh di trace jika SPR mahu lakukan kepada individu2 tertentu tetapi pada amnya undi masih rahsia, insyaAllah.

Marilah kita cetuskan politik baru yang matang. Budaya politik berdasarkan hujah dan pertempuran idea bernas untuk memajukan negara. Cukuplah dengan budaya politik ugutan, politik umpan, politik lucah dan kotor. Rakyat mahukan wakil rakyat yang bijak dan amanah. Usah berlindung disebalik mesin propoganda pada media masa dan media cetak milik BN dan kroninya. Usah masuk gelanggang dengan politik wang dan taktik murahan. Beranilah untuk debat supaya setiap wacana ilmu yang intelek bolah dinilai oleh rakyat secara adil untuk memilih wakil yang terbaik. 

Saya tertarik dengan saranan Husam Musa untuk mewujudkan platform debat di Putrajaya sekiranya PR berjaya mengambilalih Putrajaya. Bagi saya itu progres ke arah politik matang dan gentleman.

Bak kata seorang warga yang bistari, BN ada kelebihan dan kekurangannya. Begitu juga dengan PR. Maka  jika kerajaan BN itu teruk maka gantikan dengan kerajaan PR, apa masalahnya? Begitu juga jika kerajaan PR didapati tak ada la bagus sangat maka gantikan dengan kerajaan BN. Dan kalau kedua-duanya tak bagus maka ubah kepada yang lebih baik. 

Proses kematangan politik kena berterusan. Ibarat air yang lama bertakung akan berlumut dan busuk menjadi air kepam. Air yang bertakung lama juga bisa membunuh manusia kerana menjadi tempat ideal pembiakan nyanuk aedes pembawa demam denggi berdarah. Maka yang terbaik ialah biarkan air itu mengalir agar segar dan jernih.

Pilihlah wakil rakyat yang power dan amanah. Beranilah untuk UBAH. Ubah kepada yang lebih baik. Bukan ubah untuk lebih jahat atau lebih buruk atau lebih parah atau lebih rasuah. Bangunlah rakyat jelata sekelian. Pilihlah wakil rakyat yang cerdik membela rakyat bukan yang cerdik memperbodohkan rakyat. Pilihan di tangan anda. 

Jangkamasa 55 tahun begitu lama untuk sebuah tidur yang panjang. Kini masa untuk bangkit dan jadikan 24 sejam sehari semalam itu sebagai ibadah yang dipenuhi pahala bukan dosa lagi. Mengundi di PRU13 ini juga adalah ibadah bila nawaitu kerana Allah, insyaAllah.

Ini Kali Lah !!

BUKAN  Lain Kali Lah.

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...