Please CLICK

Sunday, March 23, 2014

PRK Kajang Post Mortem



Alhamdulillah keputusan PRK Kajang pun sudah diumumkan. Pelbagai pihak telah memberi komen dan reaksi masing2. Cuba kita buat sedikit post mortem. Kita berkongsi maklumat agar faham hakikat. Dalam keributan kes kehilangan pesawat MH370 yang sudah masuk hari ke-17 yang belum mendapat penyudah konklusif, kita di hidangkan dengan PRK Kajang yang berlangsung semalam.

Seorang Pak Menteri khabarnya ada memberi komen, "DP Chew Mei Fun telah dapat pertingkat sokongan pengundi kpd BN. DS Noh dan Dt Johan, syabas kerana kerja keras, BN teruskan usaha utk jaya."

Pada PRU 13 lalu calon BN mendapat 12,747 undi manakala pada PRK 2014 calon BN Chew Mei Fun hanya mendapat 11,362 undi, iaitu perbezaan kekurangan undi 1,385 undi. Meningkat kot angle mana itu Pak? 

Jadi jelas komen Pak Menteri itu berdasarkan fakta yang salah. Sebagai rakyat bijak dan celik fakta, janganlah kita mudah menerima bulat2 apa yang dipaparkan di media. Post mortem kita hendaklah berdasarkan fakta bukan auta.

  • Kali ini calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya meningkatkan jumlah undinya kepada 59.43% berbanding 57.99% daripada jumlah undi keseluruhan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.
  • Dalam PRU13, calon PKR, Lee mendapat 57.99% undi iaitu 19,571 undi daripada 33,749 undi yang dibuang semasa pilihan raya itu.
  • Dalam PRK kali ini, Dr Wan Azizah mendapat 16,741 undi manakala calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun mendapat 11,362 undi.
  • Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 berbanding 6,824 yang dimenangi penyandang kerusi Lee Chin Cheh dalam PRU13 lalu, kurang 1,445 undi.
  • Selaras dengan peratusan keluar mengundi hanya 72% kali ini, jatuh 16% berbanding 88% pada PRU13 lalu.

Chew mendakwa, beliau berjaya menaikkan peratusan undi Cina daripada 18% dalam PRU13 kepada 24.8% dalam PRK kali ini. Satu kejayaan bagi BN. Mungkin strategi BN meletakkan calon berkaliber berbangsa cina dari parti MCA membuahkan hasil yang diharapkan.

Namun pada masa sama BN kehilangan banyak undi melayu. PKR berjaya meningkatkan undinya di kawasan melayu di samping kawasan pengundi muda. 
  • Dalam PRU13 lalu, calon BN menang 420 undi di Sungai Kantan namun kali ini hanya menang dengan majoriti 225 sahaja.
  • Di Sungai Sekamat dan Taman Delima, dua lagi daerah mengundi majoriti Melayu, PKR berjaya memenangi kawasan yang selama ini menjadi kubu Umno itu.
  • Di Sungai Sekamat, PKR menang 45 undi berbanding kalah 239 undi dalam PRU13 lalu.
  • Di Taman Delima pula, PKR menang tiga undi berbanding kalah 123 undi dalam PRU13 lalu.
  • Di Batu 10 Cheras, majoriti BN berjaya dikurangkan kepada 151 undi sahaja.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyatakan keputusan PRK ini menyaksikan penambahan kerusi kaum Melayu dan muda di kawasan majoriti Melayu. “Kita menang di Sungai Sekamat kita menang di Taman Delima ini merupakan kawasan majoriti Melayu. Sementara itu bila tengok saluran 4,5,6 di semua daerah mengundi kita menang berbanding PRU lepas secara umum saluran muda Melayu PR kita kalah, kita hanya menang di kerusi Cina dan India, berbanding PRK kali ini kita menang dengan bergaya." Rafizi merumuskan, "Ini akan membuatkan BN berada dalam keadaan tertekan dan goyah."

Apakah pengundi memilih calonnya berdasarkan kaum? Iaitu majoriti kaum melayu memilih Wan Azizah manakala kaum cina memilih Chew? PRK ini masih penuh dengan isu perkauman. Mengapa perlu lagi kita menggunakan pendekatan perkauman untuk meraih undi? Juga terserlah kempen benci membenci antara parti juga luar biasa hebatnya. 

Moving foward, apakah ini yang kita inginkan dalam senario politik matang negara? Mungkin keadaan ini subur bukan bersifat percanggahan ideologi lagi, tetapi lebih kepada kebencian dan dendam kesumat pada sentimen, kezaliman dan kekuasaan.

Saya ingin melihat senerio politik Malaysia bergerak ke depan dengan membahaskan pelbagai isu dengan wadah intelek bukan caci mencaci atau komen2 bodoh dan tidak bertanggung jawab. Berhentilah membuka mulut di media atau menulis di twitter dan media sosial kata2 yang menyerlahkan kebodohan dan kerendahan level intelek seseorang yang bergelar pemimpin. 

Sandarkan penyataan anda dengan fakta yang solid bukan sekadar pandangan sebelah pihak atau berlunaskan fakta yang salah. Rakyat sudah celik minda walaupun tidak dinafikan ramai lagi yang jahil totok yang mudah di perkotak katekkan sesuka hati namun hormatilah masyarakat kita yang mahukan sesuatu yang baik untuk negara ini. 

Cukuplah menyalahgunakan media untuk memaksa rakyat menerima segala penyataan walaupun jelas salahnya atau kabur kebenarannya. Bergeraklah menuju era pendebatan terbuka dalam sesuatu yang menyentuh kepentingan negara dan rakyat ramai.

Keadaan turut berubah menurut peredaran masa dan keadaan. Dalam kes MH370 misalnya, kalau pada awal dulu larangan keras oleh pihak polis supaya tidak menyebarkan spekulasi namun hari ini polis menyifatkan spekulasi yang menular di Internet boleh membantu siasatan dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac. "Kami memantau semua spekulasi ini kerana kita merasakan sedikit sebanyak ia membantu dalam siasatan," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

Pada pemerhatian saya banyak spekulasi bijak dan analisa2 intelek telah tersebar di internet dalam kes MH370 ini. Selagi tiada penyelesaian jelas atau persoalan demi persoalan belum terungkai secara konklusif maka spekulasi atau pandangan demi pandangan tidak bisa dibendung malah akan terus dihidangkan untuk tatapan dan penilaian semua pihak. 

Renung dan fikir. Bukankah itu antara fungsi akal yang Allah pinjamkan ini? Bukan sekadar percaya membuta tuli atau gagal menilai walaupun perkara mudah dan asas. 

Teruskan post mortem anda. Jadilah ahli masyarakat dan rakyat negara ini yang maju ke depan bukan undur ke belakang dalam mencari kebahagiaan bukan sekadar di dunia bahkan yang utama ialah mencari redha Allah dan kebahagiaan hakiki di Akhirat nanti.

@@@

Wednesday, March 12, 2014

Kajang Move 2.0


Kajang Move pada asalnya sangat meletakkan BN pada kedudukan terkejut dan tanpa sedia. Ia sesuatu yang tiada dalam jangkaan BN. Sekaligus meletakkan PR terutamanya PKR selangkah kedepan. Bila diumumkan DSAI bakal menjadi calon PRK Kajang ini maka sekali lagi BN macam tiada jawaban yang bersemangat seolah-olah kalah sebelum bertanding.

Pabila Kajang Move di lihat sebagai satu strategi high level untuk memposisikan DSAI untuk mengambil alih jawatan MB Selangor satu hari nanti, maka ia mula menjadi satu kemungkinan yang tidak boleh dipandang enteng lagi. DSAI bakal mengawal Selangor sebuah negeri catalyst, kaya ekonomi, pusat intelek dan pencetus perubahan. Ini bukan sebarang negeri. Menjadi MB yang bakal mencorakkan hala tuju sebuah negeri termaju di Malaysia bukan satu jawatan yang biasa-biasa, apatah lagi bila di duduki oleh seorang pemimpin bertaraf dunia seperti DSAI. Maka keadaan menjadi panas dan merimaskan.

Para strategist mula bersidang dan mengaturcara program. Laluan DSAI tidak boleh dimudahkan begitu saja. Walaupun pihak tertentu sering memperlekehkan DSAI as a nobody atau past his prime, tapi nampaknya DSAI is too good to be ignored just like that. He is a world class leader after all. Sayangnya tokoh pemimpin bijak, berakhlak dan amanah seperti DSAI tidak di beri sokongan padu oleh rakyat Malaysia untuk menampuk kepimpinan negara ini ke level yang lebih membanggakan. 

DSAI hanya dikekalkan sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat. PM menanti at best jika PR dapat membentuk kerajaan persekutuan di PRU14 nanti. Perjalanan hidup seorang tokoh hebat sudah tentu penuh onak dan duri. Kita lihat tokoh seperti Nelson Madela atau Mohamed Morsi sebagai contoh. Namun yakinlah setiap kejadian itu tentulah ada hikmah di sebaliknya. Mungkin DSAI bukan yang terbaik buat masa ini untuk menampuk jawatan atau kedudukan tertentu itu atas pelbagai faktor. 

Namun apakah kita sebagai rakyat bijak dan peka hanya mahu melihat sahaja jika kezaliman berlaku di depan mata tanpa perlu ada rasa walau sekumit untuk bisa berbuat apa2? Saya melihat kenyataan rasmi IKRAM perihal hasil keputusan mahkamah dalam kes DSAI baru2 ini ada relevansinya:

*******


Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti secara dekat perkembangan proses perbicaraan serta keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang telah mensabitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersalah di bawah Seksyen 377A dan dihukum penjara 5 tahun.

IKRAM mempersoalkan proses perbicaraan dan keputusan mahkamah berkenaan kerana terdapat unsur-unsur yang banyak menimbulkan keraguan. Di antaranya ialah;

a)Tarikh perbicaraan yang pada asalnya ditetapkan pada 7-10 April 2014 telah diawalkan kepada tarikh 6-7 Mac 2014, iaitu hampir dengan tarikh penamaan calon di Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.

b)Keputusan sabitan dan hukuman diumumkan terus pada akhir perbicaraan pada 7 Mac 2014. Tindakan tergesa-gesa dalam memberi penghakiman bertukar (reverse decision) amat jarang berlaku di dalam kes rayuan seberat ini.

c)Penolakan permohonan mitigasi hukuman yang dipohon untuk dilanjutkan ke tarikh lain bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan dokumen sokongan untuk mitigasi hukuman. Lazimnya mahkamah memberi tempoh yang munasabah kepada peguam tertuduh dalam menyediakan hujah mitigasi.

Atas sebab itu, IKRAM boleh memahami mengapa masyarakat mempersoalkan kewibawaan mahkamah dalam mengendali dan memutuskan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan yang diambil oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan merupakan suatu hak yang diperuntukkan oleh undang-undang, namun hak ini tidak akan memberi sebarang makna sekiranya persoalan-persoalan dan kegusaran yang ditimbulkan di atas tidak dapat ditangani secara profesional dan berintegriti.

IKRAM dengan ini menegaskan:

1.Sistem kehakiman negara perlu memastikan keadilan itu bukan sekadar ditegakkan tetapi mesti dilihat ditegakkan.

2.Sistem kehakiman negara perlu bebas dan dilihat bebas daripada sebarang campur tangan politik atau desakan pihak eksekutif.

3.Kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman negara perlu dipulihkan dengan memastikan ia bebas, adil dan berakhlak.

Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

*******

Apakah benar tanggapan ramai, bahawa keputusan mahkamah yang berlaku ini ada kaitannya untuk menghalalkan cara bagi menghalang kebangkitan DSAI terutamanya bagi memastikan DSAI tidak dapat mengambil bahagian sebagai calon PRK Kajang di hari penamaan calon pada 11 Mac itu?

Rakyat banyak merasakan ada yang tidak kena di sini. Ramai yang melahirkan simpati kepada DSAI. Banyak orang melihat ini sebagai penganyiaan kepada DSAI sekali lagi. Namun sebagai mana biasa apa saja instrumen termasuklah media akan digunakan bagi menghalalkan tindakan yang diambil. Ini satu peristiwa besar. Kemungkinan rakyat boleh bangkit menyuarakan tidak puas hati. Apakah tunjuk perasaan di jalanan bakal menyusul?

Pada esoknya rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita sensasi kehilangan pesawat milik MAS iaitu kapalterbang jumbo Boeing 777-200 dengan 239 penumpang dan anak kapal di tengah Laut China Selatan. Hilang. Pelik tapi benar. Kehilangan MH370. 

Hari ini setelah 5 hari berlalu. MH370 tetap hilang tidak ada khabar berita. Pelik tapi benar. Tiada orang bicara soal DSAI lagi. Berita hangat DSAI di jatuhi hukuman penjara 5 tahun kerana sabit kesalahan jenayah liwat tenggelam oleh berita yang lebih hangat dan panas, kehilangan MH370. Mungkin ini satu kebetulan?

Kini Kajang Move menyaksikan impian yang punah, anti-klimak dan irrelevant tanpa DSAI. DSWA kini menjadi calon ganti. BN mampu tersenyum. TPM sudah menyatakan BN bakal melancarkan mod ofensif dalam berkempen. Mungkin BN sudah impikan Kajang bakal ditakluki. Tapi satu yang pasti...satay kajang makin laris.

@@@

Tuesday, January 28, 2014

MB Baru Selangor ?


Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan peletakan jawatan ADUN Kajang, Bendahari AMK, Lee Chin Cheh. Berikutan kekosongan kerusi itu, mesyuarat pimpinan PR memutuskan untuk meletakkan DSAI, Ketua Umum PKR sebagai calon yang akan mewakili gabungan parti itu. 

"SAYA mengucapkan jutaan terima kasih dan terhutang budi kepada semua pengundi di Kajang yang telah memberi peluang kepada saya menjadi wakil rakyat DUN N25 Kajang. Saya terharu dengan kemurahan hati pengundi-pengundi di Kajang yang telah memberi kerjasama dan kepercayaan selama ini kepada saya. Keputusan saya untuk mengosongkan kerusi DUN N25 Kajang adalah untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat Selangor."  -Lee Chin Cheh, Kuala Lumpur, 27 Januari 2014.

Salahuddin Ayub yang mewakili PAS pada masa Sidang Media mengumumkan DSAI sebagai calon PRK Kajang sudah pun menyatakan PAS memberi sokongan penuh keputusan PKR yang meletakkan ketua umumnya DSAI sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.

Itu yang menarik dalam bidang politik ini. Sesuatu yang tidak disangka boleh saja menjadi berita hangat. Antara berita utama ialah soal penggantian MB Selangor, YB Khalid Ibrahim. Berita ini bukan berita baru. Sejak usai PRU13 lagi, jawatan panas ini diperkatakan orang. Antara watak pencetusnya di muka depan ialah YB Azmin Ali.

Selangor ini bukan sebarang negeri. Selangor adalah negeri paling maju di Malaysia. Jumlah pendapatan negeri ini sangat besar. Selangor adalah negeri pencetus perubahan. Pada perspektif strategi politik, Selangor sangat penting. Ia sering menjadi lubuk emas BN sebelum dirampas oleh PR. 

Sesiapa yang dapat menguasai negeri Selangor akan menjadi tokoh utama, bukan pelakon tambahan. Pabila timbul cerita YB Khalid Ibrahim mahu digantikan maka ramai para pendokong bertanya apa kurang atau silapnya MB ini sehingga sampai mahu digantikan dengan tokoh lain pula? Bukankah jumlah reserve kerajaan negeri sudah mencapai angka RM2.8 Bilion lebih di bawah pimpinan YB MB Khalid Ibrahim? Bukti jelas prestasi hebat dan kewibawaan tokoh korporat turn politician ini.

Saya berpendapat ia bukan soal MB Khalid tidak bagus, namun Selangor sangat memerlukan tokoh yang lebih agresif dan faham bukan sekadar gambaran besar negeri Selangor malah melangkaui isu-isu nasional dan percaturan politik nasional yang lebih menyeluruh. Apatah Selangor ini menjadi pusat catalyst dan pencetus gerakan menjana perubahan politik negara. 

Selangor (dan KL) sering menjadi pusat gerakan protes dan menunjuk perasaan ketidak puashatian dan gerakan memperjuang suara hati naluri rakyat banyak termasuklah soal kritikal seperti kenaikan kos hidup dan kezaliman pemerintah. Saya rasa YB Khalid sedar situasi ini untuk sekian lama namun mahu bertahan mengikut arus dalam menunaikan segala amanah yang diberikan without fear or favor.

Pada pemerhatian saya, YB Khalid tidak mahu meletak jawatan untuk mudah di beri kpd Azmin. Namun mungkin lebih setuju kalau diberi kpd mentor beliau iaitu DSAI. Justru untuk melayakkan DSAI menjadi MB, maka DSAI kenalah menjawat ADUN dulu. Maka itulah PRK Kajang ini diwujudkan. The rest is history in the making. 

Sudah tentulah pelbagai komen negatif diberikan seperti PRK ini suatu kes pembaziran duit rakyat, atau apakah DSAI sudah give-up untuk jadi PM, malah ketua Pemuda PAS Selangor pula memberi ugutan untuk memboikot, dan KJ dgn komen sinis mencadangkan supaya DSAI melantik diri sebagai Sultan Melaka. 

Hakikat politiknya ialah rakyat Selangor In Shaa Allah bakal mendapat MB baru iaitu seorang ikon unik yang sudah melalui segala mehnah dan sepak terajang politik yang terbukti dia tetap pemimpin utuh, lasak dan relevan iaitu DSAI.

YB Khalid mungkin akur jika DSAI menggantikannya nanti, bukannya Azmin. Maka itu penyelesaiannya. Cumanya mungkin PAS pun nak calon PAS jadi MB atas restu Sultan. Krisis yg bakal tercetus. Cumanya rekod PAS sebagai MB ini agak kurang baik di Perak, Kedah dan Terengganu kerana dijatuhkan oleh helah BN dalam masa singkat. Jadi elok benar Selangor kekalkan MB daripada PKR. 

Apa pun kita merancang maka Allah juga merancang. Yakinlah segala yg berlaku ada hikmahnya. Jika ditakdirkan DSAI yg akan menjadi MB Selangor, doa kita Selangor akan terus hebat sebagai pusat ilmu, pencetus perubahan yang boleh menjana perubahan peringkat nasional pula menuju PRU14 nanti. Jawatan MB selalunya payah orang nak lepaskan. Tanyalah MB Pahang, KM Sarawak, dan MB N9 sebagai contoh. 

Biarkan para pencatur strategi bertindak dan para pendokong menyokongnya. Yang penting kita mahukan pemimpin bertaqwa yang faham agama dan boleh diharap untuk memegang amanah Allah.

@@@

Wednesday, January 15, 2014

Kangkung Enterprise


Alhamdulillah harga kangkung dah turun. Semoga harga barangan lain juga akan turut turun. Bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat memang membebankan rakyat. Himpunan TURUN yang berlangsung di malam ambang 2014 tempoh hari pun bagi menyatakan keresahan sekelian rakyat akan tsunami peningkatan kos sara hidup ini. Sedikit sebanyak mungkin pihak kerajaan memerintah sudah mula faham akan keseriusan permasalahan ini.


Sebarang peningkatan kos seperti bayaran tol, tarif letrik, harga gula, harga minyak dan cukai yang dikenakan kepada rakyat sudah tentu akan menyebabkan peningkatan kos barangan lain. Contohnya kenaikan tarif letrik walaupun mungkin tidak melibatkan kelompok pengguna rumah biasa secara langsung kerana ianya menumpukan kepada penggunaan heavy duty seperti kilang dan entiti korporat tetapi kesan peningkatan kos operasi dan produksi ini sudah tentu akan dijelmakan ke dalam peningkatan harga produk atau servis yang dipasarkan nanti.

Ucapan PM yang menyebut perihal harga kangkung dah turun dan bila turun kenapa tak puji kerajaan telah menimbulkan reaksi spontan rakyat Malaysia dan telah mempopularkan kangkung di media terutamanya di media sosial. Ada yang menyokong PM contohnya KJ tetapi ramai yang merasakan rakyat telah dikangkungkan oleh kenyataan PM berkenaan.

"Terbukti rakyat Malaysia tidak mudah dikangkungkan. Siapa kangkung sebenarnya? Pucuknya angkuh memanjat bukit tak sedar akar terendam air parit." – Ungku Aziz

Satu luahan yang tajam daripada Pak Ungku. Pucuknya angkuh memanjat bukit, tak sedar akar terendam air parit, rakyat mengeluh lelah dan sakit, sedikit diberi banyak diungkit. Pucuknya angkuh memanjat bukit, tak sedar akar di air parit, bagaikan melepas anjing tersepit, udah dapat kuasa rakyat digigit.

Nota: Tokoh akademik Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliaulah penulis catatan berkaitan 'kangkung' yang tersebar di laman Twitter dan Facebook. (Malaysiakini)

Apapun rezki jangan di tolak. Alang-alang kangkung dah popular ni dan harganya pun dah turun, ada baiknya kita manfaatkan bersama. Jadi saya kongsikan lah di sini satu resepi masakan kangkung. Lupakan sengketa lama, kita layan resepi Kangkung Tumis Belacan:

Bahan-bahan:
  1. 1 ikat kangkung segar
  2. 1 tangkai cili merah(nak pedas,bubuh la cili padi ikut citarasa)*
  3. 2 ulas bawang merah*
  4. 1 ulas bawang putih*
  5. Segenggam ikan bilis/udang kering*
  6. 1 sudu makan(atau lebih) belacan*
  7. Garam dan perasa(ajinomoto) secukup rasa
  8. Minyak masak secukupnya untuk menumis
Cara-cara:
  1. Potong kangkung mengikut citarasa, bersihkan dan toskan bahan2 yg bertanda * dan ditumbuk hingga separa lumat
  2. Bila minyak sudah panas, tumis bahan2 yang sudah ditumbuk tadi dan kacau hingga naik bau atau bila warna sedikit kekuningan
  3. Masukkan garam dan perasa secukup rasa. Kacau sekejap, kemudian masukkan kangkung
  4. Gaul rata dan kacau sehingga masak (jgn terlampau masak, nanti tidak sedap pula). Bagi yg suka berkuah tu, boleh bubuh sedikit air dan bila kuah dah mendidih matikan api
  5. Afdal dihidangkan segera dengan nasi panas.
Nota: Rujukan Resepi di http://www.myresipi.com/top/detail/5829


Siapa sangka kangkung boleh menjadi buzz word dalam sekelip mata dan menjadi item terlajak popular di laman sosial. Dulu kangkung orang tak pandang tapi kini kangkung jadi sebutan. Dulu kangkung di pingitan kini kangkung di hotel lima bintang. Apakah PM menyebut kangkung sebagai contoh dengan sengaja atau spontan tanpa banyak timbang tara seadanya? Atau memang PM sudah silap bicara? 

Kerana ramai yang rasakan PM sepatutnya menyebut sesuatu yang lebih utuh dan padu yang mencerminkan nilai intelek yang tinggi dalam memberi contoh atau analogi misalnya harga kereta semakin turun sebagai mana dijanjikan pada PRU13 dulu, harga rumah yang melampau akan dirasionalkan, atau harga teh tarik dan roti canai akan di kawal agar murah walaupun harga gula sudah naik. 

Apa pun nasi sudah menjadi bubur. Terlajak kata PM menjadi bual bicara rakyat semua. Terima kasih kerajaan BN kerana kangkung sudah turun harga. Harapnya harga kereta, rumah, teh tarik dan roti canai akan menyusul sama.

@@@

Tuesday, December 31, 2013

Himpunan TURUN



Himpunan TURUN sempena malam menyambut tahun baru dianjurkan NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) bagi membantah kenaikan harga beberapa barangan yang diumumkan kerajaan BN yang sekaligus akan menyebabkan peningkatan kos hidup.

Himpunan Turun BUKAN himpunan untuk guling Kerajaan.

Slogan "Rakyat di dahulukan dan Pencapaian di utamakan" masih terngiang-ngiang di celah2 taik telinga. Justru rakyat yang peka sekadar ingin menyuarakan pendapat tidak selesa mereka pada kenaikan kos sara hidup yang berlaku asbab beberapa tindakan pihak Kerajaan yang memerintah. Platform ini patut diraikan di sebuah negara demokrasi yang mengamalkan kebebasan bersuara yang di naungi perlembagaan negara. 

Penyampaian dos ketidakselesaan ini melalui platform yang lain seperti melalui debat dan protes wakil2 rakyat di persidangan Dewan Rakyat nampaknya seolah tidak di layan atau tidak berkesan sangat. Kerajaan memerintah meneruskan kedegilan dan memekakkan telinga tanpa ambil pot atau cuba menghiraukan kesengsaraan yang menimpa rakyat bawahan ini.  

Laporan odit negara setiap tahun sebagai buktinya. Sepatutnya usha maksima di ambil terlebih dahulu untuk mengubati punca masalah yang utama iaitu kebocoran ekonomi akibat gejala rasuah, keborosan berbelanja, pelbagai kes pecah amanah dan penyalahgunaan dana awam. Bukan sekadar hanya pandai menekan rakyat di langkah pertama atau tindakan mudah setiap kali berlaku masalah kewangan atau kebobrokan ekonomi negara.

Usahlah memainkan skrip lama betapa himpunan sebegini adalah bertujuan menggulingkan Kerajaan memerintah secara demonstrasi jalanan. Rakyat bosan dengan propaganda begini. Rakyat mahu Kerajaan yang bijak memberi perhatian kepada isu kos sara hidup meningkat tinggi ini dan mengambil tindakan mantap untuk mengatasinya. Jagalah kebajikan dan bela nasib rakyat bukan gemar menekan rakyat dengan tindakan2 yang mengakibatkan peningkatan kos sara hidup yang berlaku mendadak dan serentak begini. 

"Tuntutan Turun yang antara lain mendesak agar Kerajaan memerangi rasuah, menyusun semula subsidi korporat, menangguhkan pelaksanaan cukai GST, mendedahkan perjanjian konsesi tol dan menghapuskan monopoli gula." 
Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Seri Setia

"Mahasiswa seperti kami ingin terlibat secara langsung dalam proses pembinaan negara yang demokratik. Mahasiswa masih bertindak rasional dan memilih jalan harmoni untuk peradaban negara," 
Nor Azhar Baharum, Exco Perhubungan Awam, Majlis Perwakilan Pelajar UIAM

"Pemuda PAS tidak berhasrat menggulingkan sesiapa melalui himpunan ini kerana masih percaya dengan sistem pilihanraya untuk menurunkan pemerintah. Sebaliknya, penyertaan rakyat dalam himpunan itu nanti sebagai menyatakan hasrat dan perasaan resah dengan kenaikan pelbagai harga barang dan peningkatan kos sara hidup." 
Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS


"Himpunan yang berkonsepkan duduk dan bantah ini bertujuan untuk rakyat memberi mesej jelas berhubung isu protes kos sara hidup yang semakin tinggi. Himpunan ini juga bebas dari sebarang provokasi dan ancaman yang menggugat kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.Peserta himpunan juga diseru untuk membawa bendera Malaysia tanda patriotik dan cinta kita kepada negara selain memakai pakaian tema yang berwarna hitam. Peserta dilarang membawa poster atau sepanduk yang mengandungi unsur provokasi dan ancaman. Himpunan ini adalah himpunan rakyat, yang akan diraikan dan disambut juga oleh rakyat." 
Muhamad Azan Safar, Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun)

Kita harapkan pihak berkuasa berlapang dada untuk memberikan kerjasama dan toleransi sewajarnya. Usahlah menggunakan soal teknikal sebagai alasan untuk bertindak kasar dan melihatnya sebagai perhimpunan haram tanpa permit. Rasanya perhimpunan sambuatan konsert Ambang 2014 itu pun tidak mendapat apa-apa permit. Ianya terus diberi kebenaran oleh pihak berkuasa tanpa diminta. Sedangkan ia hanya bertujuan lebih kepada hiburan semata. Sebaliknya himpunan Turun ialah sebagai simbolik membela nasib rakyat yang di tekan oleh kenaikan kos sara hidup. Yang mana lebih afdal agaknya?

@@@

Monday, December 16, 2013

Tsunami Kos Hidup


Tahniah kepada Khairi Jamaluddin kerana membawa agenda peningkatan kos sara hidup untuk dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri kabinet besok. KJ menggambarkan lonjakan mendadak kos sara hidup ini sebagai Tsunami, dan mahu mencari formula terbaik untuk meringankan tekanan kepada rakyat sekelian. 

Setakat mana keikhlasan beliau hanya Allah yang tahu. Namun kita boleh tabik spring kepadanya kerana sekurang-kurangnya dia ada telor untuk meluahkan apa yang terbuku dan bukan sekadar menjadi pak hangguk semata-mata sebagaimana majoriti menteri2 yang lain.

Pihak kerajaan BN telah dan akan mengambil beberapa langkah yang tidak user friendly malah sangat membebankan rakyat jelata kerana setiap kenaikan kos dalam keperluan asas dan servis akan menyebabkan domino effect yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan servis secara keseluruhannya. Wajarlah BN di sinonimkan dengan Barang Naik.

Apatah dalam keadaan ekonomi yang masih lembab dan pendapatan isi rumah yang memang liat dan payah untuk meningkat atau peningkatan pendapatan yang tidak sejajar dengan peningkatan kos sara hidup. Ia memberi kesan langsung dan akan menambah sengsara rakyat. Akan bertambah ramailah kelompok 'middle class' yang akan suffer in silence.

Mungkin ramai rakyat yang mula sedar alangkah baiknya jika PRU13 tempoh hari dimenangi oleh Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan kerana PR sudah menjanjikan banyak insentif untuk kebaikan rakyat seperti penghapusan kutipan tol, penurunan harga petrol dan pemberian pendidikan percuma termasuk penghapusan PTPTN. Namun nasi sudah menjadi bubur. Menyesal kemudian tiada guna sesen pun. Korek hidung dan seng hingus sendiri sajalah. 

Yang sadisnya bila berlaku sesuatu kenaikan harga, semua rakyat terpalit akibatnya bukan sekadar penyokong BN sahaja yang minoriti itu (48%). Penyokong PR yang majoriti itu pun (52%) terpaksa menelannya sama. Ini tidak adil !!  Yang penting usahlah tertipu lagi pada PRU14 nanti.

"Kalau tak puas hati pi duduk negara lain la bro,' jawaban begitu biasa kita dengar keluar dari mulut kelompok pak menteri tiga suku yang tidak termasuk KJ kot.

Menjadi pengetahuan umum iaitu kenaikan demi kenaikan harga telah atau akan berlaku selepas PRU13 iaitu kenaikan harga petrol Ron95, harga gula, tarif letrik, tambang LRT, cukai DBKL, kadar tol, tambang bas sekolah, harga rumah, cukai GST dan macam2 lagi. Semuanya naik tak ada yang turun. Harga keperluan asas tak payah cerita la kan, semuanya mahal2 belaka. Harga ikan, ayam, sayur, nasi bungkus, nasi campur, teh tarik, semua naik beb.

Ini bukan Tsunami Cina. Ini Tsunami Rakyat. Ini Tsunami Lonjakan Kos Sara Hidup untuk semua Rakyat. "Kalau tak nak bayar tol, guna jalan biasa," kata menteri cap ayam.

Tiba2 heboh, "Mat Sabu kena buktikan dia bukan Syiah." Mari kita sama-sama bincang ancaman bahaya ajaran Syiah di negara tercinta kita ini. Jom kita cerita pasal Syiah. Dum dam dum dam...pakat dok cerita pasal Syiah. Syiah yang nyata sesat. 

Aku pun sound kat member aku, "Dollah, hang kena buktikan yang hang ni bukan Syiah." Tapi ahli sunnah-wal-jamaah yang sesat pun khabarnya lagi ramai. Ahli sunnah-wal-jamaah kat negara kita yang tak solat pun berjuta-juta orang oooo. Kelompok ini lagi nyata sesat ni. Aduh pening aku. 

Nasib baik ada KJ menteri yang agak cerdik ni nak bincang soal tsunami kos sara hidup, bukan soal Syiah.

@@@

Saturday, November 30, 2013

Apa Khabar Ustaz Kazim?


Ustaz Kazim telah menjadi subjek muka depan akhbar2 tempatan dua tiga menjak kebelakangan ini. Antara sebab utamanya ialah kerana beliau telah ditawarkan sebagai salah seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik oleh PM Najib. Banyak komen pro dan kontra telah dibuat oleh banyak pihak.

Ramai melihat Umno sebagai sebuah entiti sekular yang meletakkan agama di belakang perjuangan bangsa dan ekonomi. Agama bukan sebagai matlamat utama.  

Barisan pro Umno melihat perkembangan ini sebagai satu usha untuk kembalikan kepercayaan rakyat. Tengku Adnan berkata perlantikan Ustaz Kazim dapat membantu Umno meperbetulkan kekurangan dalam parti mengenai Islam. Datuk Noraini Ahmad berpandangan ia membuktikan parti itu terus melakukan transformasi politik.

Dr MAZA pula berharap masyarakat tidak mudah membuat sebarang kesimpulan terhadap dua tokoh agama iaitu Ustaz Kazim dan Dr Asyraf Wajdi sebagai ahli MT Umno. "Tahniah atas perlantikan ini, saya berharap mereka akan memberi sumbangan ke arah positif dan membaiki keadaan negara. Tahniah juga kepada Umno kerana cuba mendapatkan khidmat golongan agama, harap benar-benar bertujuan kebaikan bukan sekadar politik kepartian," katanya.

Namun abang kepada Ustaz Kazim iaitu Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias merangkap pegawai penerangan agama pejabat menteri besar Perak kurang setuju dengan perlantikan itu. "Situasi perlantikan itu hanya menguntungkan sebelah pihak berbanding tugasnya berdakwah yang boleh menyebar ilmu kepada kerajaan mahupun pembangkang." Beliau menyarankan lebih baik jika satu jawatan yang lebih sesuai diberikan kepada Ustaz Kazim supaya tugas sebagai pendakwah masih boleh dijalankan tanpa perlu ada pertentangan prinsip.

Ustaz Kazim khabarnya belum memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak perlantikan itu selagi pertemuan dengan PM tidak berlangsung bagi membincangkan tawaran perlantikan itu. "Walau bagaimana pun, saya berbesar hati dengan perlantikan itu," katanya. Sementara itu dalam akhbar Sinar Harian dimukasurat 7 hari ini disiarkan gambar menunjukkan Ustaz Kazim mengiringi Datuk Mashitah menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta Kem Tahsin. 

Ustaz Kazim juga mengesahkan bahawa dia masih ahli Pas dan tidak pernah keluar daripada parti berkenaan walaupun ada ura2 beliau pernah dipecat. Dalam pada itu Ustaz Kazim turut membidas sesetengah ahli Pas yang menghentam dan memberi komen negatif terhadap tawaran perlantikan yang diterimanya. "Pas Perak yang sepatutnya berasa malu kerana Umno yang merupakan orang luar sudi menjemput saya menjadi ahli MT sebagai penasihat," katanya.

Apa pun episod kontraversi ini berjaya menampakkan kecenderungan Ustaz Kazim sendiri yang selama ini cuba bersikap neutral sekurang-kurangnya di luaran dengan menyatakan tidak menyokong parti itu atau parti ini. Umno pula perlukan transformasi politik dengan menarik seramai mungkin tokoh agama agar dapat menyaingi Pas yang memang menjadi pilihan utama majoriti tokoh dan ilmuan agama di negara ini.

Orang melihat Umno sangat kekurangan berbanding Pas dalam mencapai sokongan ahli agama kerana setakat ini antara tokoh2 agama yang menonjol dalam Umno cumalah DS Jamil Khir, Dr Uthman Muhammady, TS Harussani, Datuk Noh Gadut, Dr Ridhuan Tee, dan Dr Fathul Bari. Apakah para ilmuan dan pendakwah bebas seperti Dr Zahazan, Dr Zaharuddin, dan Dr MAZA bakal menjadi sasaran seterusnya ke arah tranformasi politik Umno ini? Sama-samalah kita nantikan perkembangannya. 

Yang utama keikhlasan untuk menegakkan agama Allah di muka bumi dunia ini. Jika sekadar mahu menjaga kepentingan politik tanpa iltizam yang kukuh untuk menegakkan perintah Allah maka rasanya tidak akan kemana. Jika hijrah kamu kerana Allah maka kamu akan dapat Allah. Namun jika kerana yang lain maka kamu akan dapat yang kamu hajatkan itu tanpa nilaian di sisi Allah.

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...